KONONNYA lori rosak sehingga terpaksa ditunda di tepi laut di Jalan Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis akhirnya membawa kepada pembongkaran cubaan seludup 1.8 tan dadah jenis syabu bernilai RM64.8 juta.
Perkara ini didedahkan oleh Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad hasil operasi yang disertai Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2, Briged Utara dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis dan Polis Marin telah mengesyaki sesuatu yang pelik ke atas lori berkenaan pada pukul 4 pagi, 19 Februari lalu.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori tertutup itu telah ditemukan 72 guni di mana setiap guni itu berisi 25 bungkusan dadah jenis syabu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.
Berikutan itu, katanya ia membawa penahanan kepada lima suspek iaitu empat lelaki dan seorang perempuan yang berusia dari 29 hingga 49 tahun.
Surina berkata, salah seorang suspek yang ditangkap pula cuba menawarkan wang tunai RM200,000 kepada pasukan yang terlibat.
Bagaimanapun katanya, pegawai polis yang terlibat dalam kes tersebut menolak dan merampas wang tunai itu untuk tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, semua suspek direman selama seminggu mulai 19 Februari dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Siasatan awal mendapati tiga suspek negatif dadah dan dua pula positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Tambahnya, pelbagai aset suspek seperti kenderaan, barang kemas, beg mewah, wang tunai dan wang dalam akaun kesemuanya yang bernilai RM406,603 disita. – SM