Nasional

Berpantang maut sebelum ajal

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 18 Mei – Berpantang maut sebelum ajal! Itu situasi mencemaskan dilalui dua nelayan apabila terselamat dalam kejadian bot terbalik dipukul ombak kuat berhampiran jeti nelayan Kampung Hailam, Tanjong Kling dekat sini Isnin lalu.

Ketika kejadian tekong bot, Ibrahim Idris, 54, dan anak saudaranya Mohd. Aidil Mutalib, 19, dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan di perairan Selat Melaka berdekatan Tanjong Kling.

Sewaktu kejadian laut bergelora dan hujan lebat serta berlaku angin kencang pada petang tersebut.

Ibrahim Idris menunjukkan bot miliknya yang tenggelam dipukul ombak di jeti nelayan Kampung Hailam, Tanjong Kling, Melaka.

Menceritakan detik cemas itu, tekong bot, Ibrahim Idris, 54, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 petang itu ketika dia bersama anak saudaranya, Mohd. Aidil Mutalib, 19, dalam perjalanan pulang ke jeti selepas menangkap ikan di perairan tidak jauh dari Tanjong Kling.

Menurutnya, sewaktu menghampiri jeti Kampung Hailam, secara tiba-tiba bot gentian kaca dipukul ombak kuat
hingga menyebabkan bot yang dinaiki terbalik.

“Sewaktu terbalik, saya dan anak saudara terperangkap dalam atap bot dan menghadapi kesukaran untuk keluar
menyelamatkan diri.

“Mujurlah kami berdua tidak panik dan akhirnya berjaya meloloskan diri keluar dari kepungan atap bot untuk
menyelamatkan diri.

“Ini adalah kejadian pertama sepanjang menjadi nelayan hampir 30 tahun apabila bot saya tenggelam dipukul
ombak kuat mujurlah kami dapat menyelamatkan diri,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Ibrahim berkata, beberapa nelayan yang kebetulan baru pulang menangkap ikan ternampak kejadian tersebut
serta membantu menyelamatkan mereka berdua.

Menurutnya, bot sepanjang 26 kaki miliknya dengan nombor vesel MKS2813 berjaya diselamatkan apabila
ditolak ombak kuat sehingga sampai berhampiran jeti.

Ujarnya, beberapa rakan nelayan menolong menarik bot tersebut hingga memasuki kawasan jeti tempat berlabuh
di situ.

Dia berkata, dia mengalami kerugian hampir RM3,000 apabila kehilangan dua buah telefon bimbit, hasil
tangkapan dan kerosakan dua enjin setiap satu berkuasa 40 kuda.

Jelasnya, satu laporan telah dibuat di Balai Polis Tanjong Kling kira-kira pukul 7.24 petang Isnin berhubung kejadian yang menimpanya.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi telah meninjau ke tempat kejadian
serta melihat bot yang tenggelam.

Beliau turut menyampaikan sumbang kit makanan dan wang saguhati bagi meringankan beban kedua-dua mangsa tersebut.

Turut hadir meninjau kedua-dua nelayan terbabit ialah kakitangan daripada Jabatan Perikanan negeri.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button