Politik

Berita daging kambing bercampur babi, tidak sama isu kartel daging – Najib

BERITA daging kambing bercampur daging babi yang berlaku pada tahun 2017 tidak sama dengan kartel daging haram yang berlaku ketika ini.

Secara sinis Ahli Parlimen Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jika skandal kartel daging haram berlaku pada zamannya sudah tentu sejak dari awal  beliau akan menjadi sasaran pihak tertentu sebaik berita itu dilaporkan oleh media.

“Cuba tanya sendiri: Jika apa yang dilaporkan beberapa hari dahulu bahawa daging tak halal dicampur dengan daging halal untuk dijual sebagai daging halal terkeluar masa saya Perdana Menteri, sudah tentu akan tercetus kekecohan besar seluruh negara untuk tuduh Najib ini dan itu masa itu. Kan? Tapi ianya tidak berlaku,” kata Najib.

Beliau mengulas tindakan beberapa cybertroopers yang menjadikan berita daging kambing bercampur daging babi pada tahun 2017 sebagai modal untuk menyerang beliau.

Najib menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk propaganda yang dilakukan oleh parti lawan untuk mengenakan beliau.

“Ini satu lagi contoh propaganda puak Pakatan Harapan yang menipu dan memperbodohkan penyokong mereka hanya kerana mereka nak kenakan saya.

“Oleh sebab sekali imbas propaganda ini macam betul je, ramai rakyat yang tertipu dan turut diperbodohkan PH sekali lagi,” kata Najib.

Beliau menjelaskan, isu kartel daging haram yang berlaku sejak tahun lalu hingga kini berkaitan daging lebih murah iaitu daging kangaroo dicampur dengan daging lembu untuk dijual menggunakan sijil halal sebagai daging halal yang lebih mahal.

Sedangkan laporan media pada tahun 2017 berkaitan percubaan pengimport menyalahgunakan permit (AP) daging kambing yang berharga lebih murah untuk mengimport daging babi dari Sepanyol yang lebih mahal.

“Orang bukan Islam tahu bahawa daging babi Sepanyol, cuba google “Spanish pork ribs” adalah makanan mewah/premium, yang dijual dengan harga amat mahal.

“Berita tahun 2017 itu bukan kerana ada orang yang nak campurkan daging lebih mahal dengan daging kambing lebih murah untuk dijual sebagai daging kambing halal lebih murah. Ini bukan kes tipu sijil halal.

“Niat pengimport tersebut memang nak jual daging babi Sepanyol dengan harga lebih mahal sebagai daging mewah non-halal kepada orang bukan Islam,” kata Najib.

Menurutnya, tidak ada peniaga yang begitu bodoh untuk menggantikan barang yang lebih mahal untuk dikelirukan sebagai barang yang lebih murah supaya boleh dijual dengan harga lebih rendah.

Menurut Najib, percubaan pihak berkenaan untuk membuat penipuan pada tahun 2017 itu berjaya dikesan dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Ahli Parlimen Pekan itu menegaskan beliau tidak menerima sebarang aduan atau laporan malah media tidak pernah melaporkan isu berkaitan kartel daging haram sepanjang menjadi perdana menteri.

“Dan jika ianya dilaporkan atau kita terima aduan masa itu, kita akan bertindak tegas sebab ini isu berat,” kata Najib.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button