Berapa sebenarnya markah Maszlee?
Analisis
BERAPAKAH rating yang wajar diberikan kepada Kementerian Pendidikan diketuai Dr. Maszlee Malik, menteri yang paling acap dikaitkan dengan rombakan Kabinet oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad?
Sembilan per 10, tujuh atau lima dari 10 yang pernah disebut oleh Perdana Menteri dalam penilaian prestasi anggota-anggota Kabinetnya sebelum ini?
Kata 18 Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Awam (UA) semalam, Maszlee telah menjalankan tugas sebagai Menteri Pendidikan dengan baik dan penuh bertanggungjawab.
Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim pula mengangkat prestasi Maszlee sebagai amat memberangsangkan. Pengekalan beliau di portfolio berkenaan perlu diberi keutamaan, dakwa Mohd. Azraai lagi.
FAKTA ATAU BODEK?
Tepatkah penilaian mereka ini? Mana fakta-faktanya. Atau sekadar untuk `menyelamatkan tengkuk’ masing-masing. Mudah cakap, `bodek’?
Seingat Suara Merdeka, tiada ada apa yang boleh dibanggakan Kementerian Pendidikan di bawah teraju Maszlee selain gelaran paling hangat `menteri kasut hitam’.
Bolehkah 18 timbalan naib canselor yang `mengangkat’ Maszlee tadi buat kaji selidik yang menyangkal hujah ‘benarkah universiti-universiti swasta sudah mengatasi universiti tempatan dalam ranking penguasaan akademik dan kebolehpasaran para lepasan graduannya’?
SEKOLAH ANTARABANGSA BERLELUASA?
Suara Merdeka diberitahu oleh mereka yang arif di luar sana, sekolah-sekolah antarabangsa atau international school kini begitu `dikerumuni’ oleh anak-anak tempatan. Padahal, sepatutnya sekolah-sekolah jenis ini hanya laku dalam kalangan keluarga ekspatriat.
Lebih menggusarkan lagi, perkembangan sekolah-sekolah antarabangsa ini begitu berleluasa. Kalau tidak kena gayanya, mahu ia menjadi `cermin bangkai’ kepada sistem pendidikan negara.
SEKOLAH KEBANGSAAN ‘LONGLAI’
Dr Mohd Azraai tadi boleh juga `check’ keupayaan sekolah kebangsaan (SK) kita.
Beliau boleh saja hantar pelajar-pelajar UiTM selidik sistem pendidikan kebangsaan yang khabarnya tidak mengajar murid/pelajarnya berdialog dan bertanya.
Sistem kita kelihatan lebih kepada satu hala. Prof Ungku Aziz pernah bercakap ini semua. Sekarang pun masih begitu.
Tetapi dalam kerangka pendidikan Inggeris dan Cina, bersoal jawab telah menyelesaikan masalah sebahagian sistem mereka.
SJKC POPULAR
Sebab itu Suara Merdeka tak pelik sekiranya satu hari nanti sistem kita ditinggalkan oleh masyarakat Malaysia. Mereka akan pergi kepada sistem pendidikan Cina yang mana sekarang ada trendnya iaitu antara 90,000 hingga 100,000 orang Melayu sudah mula mengikuti pendidikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Ini petanda apa? Ini petanda yang mereka tidak nampak menggarap lunas-lunas pemikiran untuk memperbaiki persekitaran mereka.
Ibu bapa Melayu sudah terasa barangkali bila mereka mendapati dengan menghantar anak ke sekolah Cina ada perbezaaan. Pengajaran dan pembelajaran subjek Matematik dan sainsnya lebih dari di SK. Mampu pula bercakap Cina dan boleh bersoal jawab dalam hal-hal kehidupan.
Jika penilaian ini terus menerus berlaku, maka jurusan perdana pendidikan kita akan merosot. Maka gambaran negatif yang ada selama ini terhadap SK mungkin tetap berlaku dan terus berlaku.
KEMBALIKAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
Di sisi lain, ada pandangan dilontarkan kepada Suara Merdeka untuk kemudiannya dilontarkan kepada Perdana Menteri agar diwujudkan semula Kementerian Pendidikan/Pengajian Tinggi.
Maszlee seorang tidak termampu untuk mengendalikan peringkat sekolah, mana yang rendah, menengahnya sampai ke peringkat pendidikan tinggi. Tak terkejar.
Mesti ada induksi perubahan pendidikan di bawah universiti. Di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini, apa yang diberitahu pakar pendidikan kepada Suara Merdeka, antaranya: “Yang diberi assignment atau tugasan itulah sahaja yang dibuat. Tidak ada satu scholarship untuk berdebat atau memikirkan counter atau cara alihan kedua dalam sesuatu situasi menghadapi masalah.
Dan kita pun sudah lihat perkembangan tahap murid dan universiti dengan 90 peratusnya Melayu, tetapi apa hasilnya sekarang?
Ini bermakna sudah sampai masanya arus perdana pendidikan kita dirombak betul-betul.
Jadi, berapa markah yang sepatutnya Maszlee peroleh, sekali gus barangkali mampu `menyelamatkan dirinya’ dari senarai menteri yang dirombak ?
– SUARA MERDEKA