Benteng organisasi, integriti, kualiti harus dijaga – titah Raja Muda Perlis
LONDON – Semua Pekhidmat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Penjawat Awam agensi berkaitan Pengurusan Hal Ehwal Islam di negeri Perlis perlu terus memperkukuh benteng organisasi sebagai tempat mencari rezeki sambil memastikan integriti dan mutu perkhidmatan kepada ummah terus dipertingkatkan.
Setiap penjawat awam ditekankan harus mendahulukan kepentingan organisasi dan negeri tercinta, mengatasi kepentingan peribadi atau kumpulan kecil.
“Masyarakat sentiasa memerhatikan kita. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memperkukuh benteng organisasi sebagai tempat mencari rezeki, dan dalam masa yang sama, mengutamakan kepentingan negeri ini melebihi segala-galanya”.
Demikian menurut kenyataan MAIPs, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas Baginda berkenan berangkat menyempurnakan penyampaian sumbangan kecil zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada The Suffa Educational Foundation di London, United Kingdom yang diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammad Zaki Ismail baru-baru ini.
Turut berangkat mengiringi Baginda adalah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri-puteri dan putera Baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Sumbangan zakat ini merupakan inisiatif MAIPs yang disalurkan kepada organisasi terpilih dari masa kesemasa mengambil sempena keberangkatan Tuanku Raja Muda ke luar negara.
Foto : MAIPs.