Politik

Benarkah kempen Anwar Ibrahim tenggelam

SEGIGIH manapun pemimpin KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun padang membantu calon-calon Pakatan Harapan (PH) berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan kurang lebih 48 jam ada juga kedengaran suara-suara nakal berkata, “Kempen Bang Non tenggelam.”

Pemimpin utama dari parti lain, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang sama-sama turun padang berkempen dilihat bukan sahaja lebih menyerlah malahan kehadiran mereka dilihat lebih meriah di kawasan-kawasan yang menjadi lapangan turun padang.

Kalau nak diikutkan, suara-suara nakal yang berbunyi itu akan terkejut melihat jadual turun padang Anwar.

Ada kesempatan, DUN mana yang Anwar tidak hadir berkempen secara fizikal? DUN Semerah, Gambir, Layang Layang, Bukit Naning, Seri Medan, Kukup (sekadar menyebut beberapa nama), ada sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun ramalan Nujum Pak Belalang dalam semangkuk air kononnya nampak PRN Johor lebih berpihak kepada BN.

Ahlil Nujum meramalkan, BN menang besar di PRN Johor. Yakah atau yo-yo-an aje. Tidak mungkin PN berputih mata dan  sasaran menang 17 kerusi DUN hilang begitu sahaja.

Jangan sesekali pandang sebelah mata calon-calon PH walaupun mereka yang bertanding dari PKR menggunakan logo PKR.

Tidak perlu diulas secara berlebih-lebihkan kerana rekod ucapan kempen Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usahanya untuk membantu calon-calon, kata-kata Anwar tetap pedas dan mendesup masuk ke lubang telinga.

Misalnya ucapan Anwar di DUN Seri Medan, kata beliau, disebabkan nak kuasa lebih, sokongan lebih itulah sebabnya pihak sebelah sana adakan pilihan raya.

Masih ada bisa bukan dalam ucapan Anwar itu? Kalaupun ada yang kata kurang taring, ceramah Anwar masih enak dialun di halwa telinga hadiran yang mendengar beliau berkempen.

Mungkin kita tidak sepandai mereka dalam politik, ceramah politik atau ramalan politik tetapi kita bukanlah pekak atau buta tuli langsung hal-hal berkaitan politik.

Bangsa Johor juga begitu, rakyat Negeri Johor juga tidak termasuk dalam kategori atau golongan itu kerana mereka akan menterjemahkan kebijaksanaan sebagai pengundi apabila keluar menjalankan tanggungjawab masing-masing pada 12 Mac ini.

Tarikh keramat kepada parti yang menang nanti tetapi bukanlah tarikh keparat bagi parti yang kalah kerana politik itu seharusnya berada di landasan penyatuan demi rakyat, hak rakyat, kepentingan rakyat.  – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button