Nasional

Belum pernah seorang Perdana Menteri diuji sebegini berat dalam 100 hari

BELUM pernah lagi mana-mana Perdana Menteri Malaysia diuji dengan masalah dan cabaran sebegitu berat dalam tempoh 100 hari seperti dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengharungi fasa COVID-19.

Namun kata Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. Edmund Santhara Kumar, Perdana Menteri kelapan itu bangkit dengan pantas menangani penularan pandemik itu sebaik sahaja mengangkat sumpah jawatan pada 1 Mac lalu.

“Beliau saya anggap berjaya membendung penularan COVID-19 tanpa peningkatan mendadak kes positif walaupun sektor ekonomi dibuka semula.

“Ketika banyak negara memohon bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk memulihkan ekonomi negara mereka, Malaysia di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin ada kaedah tersendiri mengikut acuan kita dalam menangani masalah ini,” kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan itu kepada SUARA MERDEKA hari ini.

Semalam, genap 100 hari Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pelancaran Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion yang diumumkan dalam tempoh 10 hari sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada 18 Mac lalu telah membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin untuk memulihkan ekonomi negara.

Ia disifatkan sebagai satu tindakan yang pantas dan tepat pada masanya untuk mengimbangi usaha membendung penularan pandemik COVID-19 dan proses pemulihan ekonomi, dengan jumlah yang jauh lebih besar daripada peruntukan kerajaan untuk pelan pemulihan ekonomi pada 2009 iaitu sebanyak RM67 bilion.

Kejayaan mengekang penularan COVID-19 adalah hasil daripada langkah yang diambil kerajaan dan disiplin rakyat terutama petugas barisan hadapan serta pasukan keselamatan yang bekerja siang dan malam tanpa cuti atau rehat di hujung minggu.

Dengan langkah yang diambil oleh kerajaan dan disiplin rakyat, penularan pandemik itu dapat dibendung dengan lebih 80 peratus kes pulih sepenuhnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button