Politik

Belum ada keputusan rasmi tangguh haji, kata Zulkifli

BELUM ada keputusan rasmi mengenai ibadah haji pada tahun ini dibatalkan. Oleh itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri meminta agar khabar angin berkaitan penangguhan ibadah haji dihentikan.

Menurut Zulkifli, berdasarkan penjelasan Duta Besar Arab Saudi Mahmoud Hussien bin Saeed Qattan dalam pertemuan mereka semalam masih belum ada keputusan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkaitan hal tersebut.

“Justeru, saya menyeru kepada seluruh umat Islam untuk tidak menyebarkan sebarang khabar angin berkenaan perkara ini.

“Sama-samalah kita berdoa agar Allah SWT menghilangkan wabak ini dan memelihara dua kota suci umat Islam dari sebarang perkara yang tidak diingini.

“Semoga dengan doa dan munajat kita, pelaksanaan ibadah haji pada tahun ini dapat direalisasikan dengan izin-Nya. Amin,” kata Zulkifli.

Turut hadir dalam pertemuan itu Atase Agama Kedutaan Arab Saudi Syeikh Abdurrahman Ibrahim Al-Rubai’an,  Pengurus Besar Kanan Haji, Tabung Haji  Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji Ruslan Said,.

Pertemuan itu mendapatkan penjelasan berkenaan isu pelaksanaan ibadah haji bagi tahun ini.

Wabak Covid-19 yang melanda dunia pada ketika ini, turut memberi kesan kepada Arab Saudi. Negara tersebut menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk dan serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah.

Bulan lepas, Arab Saudi juga menghentikan kemasukan jemaah umrah untuk sepanjang tahun ekoran kebimbangan terhadap penularan COVID-19.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button