Luar Negara

Belum ada bukti varian baharu Covid-19 menular dalam komuniti di Singapura

KERAJAAN Singapura menegaskan masih belum ada bukti bahawa varian B117, Koronavirus (Covid-19) dari United Kingdom (UK) itu menular dalam komuniti penduduk negaranya.

Walau bagaimanapun semua kes telah diberikan Notis Duduk Di Rumah selama 14 hari (SHN) di kemudahan yang ditetapkan atau diasingkan sejurus tiba di Singapura dan kontak rapat mereka dikuarantin lebih awal, katanya.

Kementerian Kesihatan negara itu memaklumkan, sebagai langkah berjaga-jaga, kerajaan Singapura mulai tengah malam tadi melarang semua pengunjung yang mempunyai sejarah perjalanan ke UK dalam tempoh 14 hari lepas.

Ia termasuklah semua pemegang pas jangka panjang dan pelawat jangka pendek dengan sejarah perjalanan terkini ke negara benua Eropah itu.

Langkah pencegahan itu dibuat susulan, satu kes disahkan dengan strain virus UK B117 membabitkan remaja perempuan berumur 17 tahun yang menuntut di UK dari Ogos 2020.

Kata kementerian tersebut, varian baharu itu berpotensi untuk menular, kini merebak di UK dan Makmal Kesihatan Awam Nasional sedang melakukan turutan genom virus bagi kes Covid-19.

Sebelum ini, sebanyak 31 kes import dari Eropah yang tiba di Singapura antara 17 Nov dan 17 Dis 2020 disahkan mempunyai jangkitan Covid-19 pada Disember 2020.

Bagaimanapun, 12 daripada mereka tidak dijangkiti varian B117 manakala seorang didapati dijangkiti strain tersebut.

“Lima sampel tidak boleh dipastikan susulan kandungan virusnya yang rendah dan kami masih menunggu keputusan 11 lagi kes yang pada awalnya dikesan positif varian B117.

“Dua kes belum disaring setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button