PERLIS bersetuju untuk memberikan diskaun sebanyak 75 peratus ke atas kadar denda pelanggaran syarat tanah di sepanjang tahun 2024, kata Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Sekaligus katanya, ia sebagai galakan kepada pemilik-pemilik tanah individu untuk mengemukakan permohonan ubah syarat tanah.
Beliau berkata, kadar diskaun ini juga turut dipanjangkan kepada pemilik-pemilk tanah yang sedang membuat bayaran ansuran kelulusan permohonan ubah syarat tanah atas baki tunggakan.
“Adalah menjadi harapan kerajaan negeri bahawa dengan kelonggaran yang diberikan ini maka pemilik-pemilik tanah akan mengambil peluang untuk mengemukakan permohonan ubah syarat dengan kadar yang segera,” kata Mohd Shukri.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 Perlis dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di Kangar hari ini.
Mohd Shukri berkata, dalam usaha untuk meningkatkan hasil, kerajaan negeri juga turut mengambil perhatian akan keluh-kesah pemilik-pemilik tanah yang ingin membuat permohonan ubah syarat tanah.
Buat masa ini kataya, sekiranya pemilik tanah melanggar syarat tanah dengan melakukan aktiviti atas tanah selain dari syarat yang ditetapkan, denda pelanggaran syarat akan dikenakan atas kadar 100 peratus dari jumlah premium ubah syarat tanah.
“Semoga hasil yang dijana melalui pemilikan tanah yang mematuhi perundangan ini bertambah dan diberkati oleh Allah,” ujarnya. – SM
BACA Pemodenan pantadbiran tanah melalui sistem e-Tanah: Pelaksanaan sistem e-Tanah Selangor