Nasional

Belanjawan baharu akan dibahaskan pada tahun hadapan – Perdana Menteri

Belanjawan baharu akan dibahaskan pada tahun hadapan bersekali dengan pembukaan penggal baharu Dewan Rakyat yang akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belanjawan itu akan diberi nafas serta pendekatan baharu yang akan mencakup persoalan kemiskinan, kesenjangan serta langkah-langkah khusus dalam memastikan iklim yang lebih segar bagi menggalakkan pelaburan, memulihkan keyakinan serta memacu pertumbuhan ekonomi.

“RM7 bilion yang diluluskan kerajaan lalu daripada jumlah RM15 bilion bagi projek tebatan banjir akan disemak kerana ia telah diluluskan tanpa proses yang mengikut peraturan. Saya akan pastikan perkara tersebut tidak diteruskan supaya prinsip ketelusan serta peraturan dipatuhi.

“Saya turut menyentuh mengenai kontroversi pembelanjaan RM580-RM600 bilion semasa PKP. Angka ini dimainkan semasa kempen PRU15 dahulu kononnya kerajaan dahulu membelanjakan wang begitu banyak untuk rakyat. Setelah diteliti, sejumlah besar dari wang itu adalah dari KWSP, iaitu wang simpanan hari tua rakyat sendiri dan juga untuk moratorium bank. Namun, ada beberapa puluh bilion yang lain yang menunjukkan ada pelanggaran peraturan. Justeru, kepada Tan Sri Muhyiddin, jangan cabar kerajaan kerana ada beberapa peraturan dan prosedur yang tidak dipatuhi serta ada beberapa syarikat berkepentingan melibatkan keluarga turut terpalit,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar turut akan berbincang dengan Tan Sri Hassan Marican serta mengadakan rundingan dengan pegawai kanan Kementerian Kewangan serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan mengenai anggota pasukan ekonomi yang akan diketuai beliau.

“Berkenaan Bernas dan Tan Sri Syed Mokhtar, saya telah mengadakan perbincangan dengan beliau sebelum memberikan arahan kepada Bernas untuk membayar sebanyak RM10 juta bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan kepada pesawah yang miskin dan melarat. Keputusan ini tidak mudah kerana saya berdepan dengan konglomerat yang keuntungannya berbilion ringgit, dan ia tidak bermaksud untuk merobohkan empayar beliau seperti dakwaan Menteri Besar Kedah,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button