PendidikanPolitik

Belanjawan 2024: Timbang semula insentif diskaun bayaran balik PTPTN yang tidak disambung

ESOK lazimnya selepas waktu solat Jumaat, Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2024. Ini merupakan kali kedua beliau membentangkan belanjawan sejak diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

Baru-baru ini, dibangkitkan isu PTPTN yang mana insentif diskaun bayaran balik pinjaman pelajaran itu tidak akan diteruskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

MAHASISWA tidak melepaskan peluang berswafoto dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir sesi wacana bersama anak muda Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menjadi acara penutup dalam lawatan beliau ke Kelantan kali ini menerusi platform ‘Temu Anwar’ yang dianjurkan Anwar Ibrahim Club (AIC), semalam. – GAMBAR FACEBOOK

Ketua Pergerakan Wirawati PUTRA Malaysia, Nurhafizah Jamaluddin berkata, terkejut dengan kenyataan itu yang disiarkan oleh sebuah portal berita (bukan SUARA MERDEKA), diskaun yang diberi antara insentif yang mewujudkan rasa tanggungjawab peminjam untuk membayar balik hutang mereka.

“Kesedaran dan membina rasa tanggungjawab bersama seumpama ini sepatutnya menjadi agenda negara supaya selain kerajaan membantu golongan mahasiswa dalam memudahkan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya, kerajaan dapat memperoleh semula wang yang dipinjamkan walaupun kurang daripada yang sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pihak KPT yang mengeluarkan kenyataan tidak mencadangkan untuk meneruskan insentif diskaun bayaran balik PTPTN dalam Belanjawan 2024, pada pandangan Nurhafiza, perlu diberikan pertimbangan semula secepat mungkin.

Perlu mengambil kira semula faktor yang mana Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023 berkata, kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20 peratus selama tiga bulan bermula 1 Mac sehingga 31 Mei lepas.

Namun, tempoh diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN yang telah tamat pada 31 Mei lalu tidak dilanjutkan dan tiada cadangan untuk diteruskan.

Itulah senario dan walaupun dimaklumkan sama ada keputusan tersebut akan diteruskan dalam Belanjawan 2024 atau tidak, segala-galanya tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan (MOF).

Nurhafizah mempersoalkan, bagaimanakah perkara ini mempengaruhi keadaan kewangan pelajar dan matlamat pendidikan negara?

“Apakah pelaksanaan dasar baharu itu nanti mengambil kira kecenderungan dan minat untuk mahasiswa atau anak muda menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya?

“Atau PTPTN sekadar menjadi ‘bank’ tanpa menginspirasikan matlamat pendidikan negara yang menekankan bahawa pendidikan itu satu kepentingan masa kini,” katanya.

Nurhafizah mengimbas kembali, sebelum ini berdegar-degar laungan PENDIDIKAN PERCUMA.

“Asal tiba musim pilihan raya sahaja PENDIDIKAN PERCUMA akan menjadi salah satu manifesto. Ada yang berguling-guling, berkhemah di atas jalanraya sehingga menyusahkan orang ramai dan membazir tenaga kerajaan serta dana awam.

“Sekarang mereka yang lantang melaungkan agenda pendidikan percuma ini sudahpun menjadi wakil rakyat dan Menteri. Jadi bilakah agaknya agenda ini akan dilaksanakan? Adakah perjuangan pendidikan percuma hanyalah naratif cari makan untuk mendapat kuasa?

“Jika ia perjuangan yang ikhlas, mereka sepatutnya menambah baik sistem ke arah melaksanakan pendidikan percuma dengan merujuk kepada Perlembagaan Malaysia Perkara 12 dan 153 Hak Keistimewaan Orang Melayu,” ujar beliau panjang lebar.

Nurhafizah menambah, Wirawati PUTRA juga berpandangan, sudah tiba masanya pendidikan percuma di peringkat universiti di seluruh Malaysia dibincang secara lanjut dan serius.

Tegas beliau, tanggungjawab ini juga adalah tanggungjawab bersama kerajaan dengan memberi biasiswa kepada orang Melayu dan Pribumi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Namun, katanya, rakyat sedar kerajaan tak mahu memberi pendidikan percuma walaupun itulah kempen politik semasa menjadi pembangkang dahulu sehingga sanggup tidur di jalanan dan buat provokasi terlampau.

“Tetapi takkanlah sampai beri diskaun kepada peminjam yang sudi membayar balik pinjaman pun tidak boleh dipertimbang dan diteruskan?” soal beliau lagi.

Sehubungan itu, Nurhafizah berkata, Wirawati PUTRA berpendapat dan mencadangkan kepada Kerajaan perlu mewujudkan insentif yang membuatkan mahasiswa atau peminjam PTPTN akan terus membayar hutang mereka.

“Dan bukan terus membuat keputusan yang akan membawa impak buruk serta langsung tidak memberi harapan untuk golongan muda menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya,” katanya dalam kenyataan yang sama. – SM

BACA PTPTN umum dividen Simpan SSPN 3.05 peratus

BACA PTPTN umum 3.05 peratus dividen

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button