Nasional

PTPTN umum 3.05 peratus dividen

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengisytiharkan dividen 3.05 peratus bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) 2022.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada majlis pengumuman hari ini berkata dividen itu membabitkan anggaran peruntukan RM266.17 juta, yang memanfaatkan sejumlah 5.73 juta pendeposit akaun Simpan SSPN.

“Ini menjadikan jumlah dividen tahunan yang diberikan kepada pendeposit sejak Simpan SSPN ditubuhkan pada 2004 kepada RM1.33 bilion.

“Pembayaran dividen adalah daripada pulangan bersih pelaburan yang dibuat menggunakan deposit yang diterima oleh PTPTN,” katanya dalam ucapannya pada pengumuman dividen hari ini.

Turut hadir Wakil Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal, Sekretari Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Sementara itu, Khaled berkata Simpanan SSPN mencatatkan sejumlah RM3.36 bilion deposit, lebih tinggi daripada sasaran awalnya sebanyak RM2.8 bilion.

“Dividen sebanyak 3.05 peratus bukan sahaja lebih tinggi jika dibandingkan dengan dividen tiga peratus yang diumumkan pada 2021.

“Malah, dividen yang diberikan menerusi skim itu masih dianggap berdaya saing dengan kadar simpanan semasa dan simpanan tetap di bank tempatan iaitu antara 2.05 dan 2.75 peratus setahun,” katanya.

Beliau berkata menerusi pelaburan deposit berjumlah RM321.65 juta pada 2022, PTPTN mampu memberikan dividen 3.05 dan menunjukkan ia kekal handal dan berdaya saing dalam pasaran, selain menjadi pilihan terbaik ibu bapa menabung untuk pendidikan anak.

“Ini satu prestasi yang membanggakan dan skim itu dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman (pendidikan), selain mengelakkan anak-anak kita dibebani hutang apabila mereka tamat pengajian. -SM

(Visited 74 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button