Belanjawan 2021 menggerakkan pembangunan luar bandar Sabah
BELANJAWAN 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam akan menggerakkan pembangunan di kawasan luar bandar dan dapat merangsang pertumbuhan industri-industri Sabah termasuk sektor pelancongan yang terjejas akibat Covid-19.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, peruntukan khusus sebanyak RM5.1 bilion untuk Sabah bagi membina dan menaik taraf infrastruktur air, elektrik dan jalan raya, kemudahan kesihatan dan pendidikan sudah tentu dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.
Katanya, melalui peruntukan ini kita berharap pembangunan asas atau infrastruktur akan lebih dipertingkatkan di dipercepatkan .
“Jaminan kerajaan Persekutuan menyambung semula pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah amatlah dialu-alukan dan akan saya percaya akan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi di Sabah secara mapan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah juga menyambut baik penyambungan Projek Pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay di bawah SOC kerana itu akan lebih meyakinkan pelabur-pelabur asing untuk melabur di Sabah.
“Ini merupakan berita baik bari merangsang industri dan perdagangan di negeri ini,” katanya.
Katanya, oeruntukan lain yang diterima oleh Sabah seperti menaikkan peruntukan daripada RM150 juta kepada RM200 juta untuk melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming termasuk meluaskan pelaksanaannya ke kawasan baharu antaranya di Pulau Sakar di Lahad Datu amat diterima baik.
“Insentif bagi membantu pekebun kecil getah, (RM1.7 bilion) subsidi dan insentif untuk nelayan, subsidi harga dan baja padi termasuk penanam padi bukit di Nabawan juga amat dialu-alukan.
“Saya amat menyambut baik peruntukan untuk program Native Customary Rights di Sabah yang kita harap akan dapat menyelesaikan masalah berkaitan dengan Tanah Adat termasuk pemberian Geran Tanah melalui program PANTAS.
“Saya berterima kasih dengan peruntukan penaiktarafan rangkaian asas telekomunikasi untuk meluaskan capaian jaringan internet di luar bandar. Ia sudah pasti dinanti-nantikan oleh rakyat di kawasan pedalaman yang masih tidak mendapat kemudahan ini,” katanya.
Pada masa sama katanya, di Sabah masih terdapat banyak sekolah daif yang bangunan dan infrastrukturnya perlu dinaik taraf bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selesa.
Oleh itu katanya, peruntukan tambahan sebanyak RM725 juta ringgit bagi menaik taraf bangunan serta infrastruktur sekolah-sekolah daif amat dialu-alukan dan diharap ia dapat dilaksanakan pada kadar segera.
“Saya menyambut baik peruntukan sebanyak RM16 bilion dan RM17 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri akan turut dimanfaat untuk meningkatkan tahap keselamatan di negeri Sabah.
“Dengan peruntukan ini kita berharap keselamatan negeri Sabah akan terus terjamin khususnya menangani masalah kebanjiran pendatang tanpa izin dan penyeludupan barang-barang dari negara jiran termasuklah menutup pintu jalan-jalan tikus.
“Jaminan keselamatan yang mapan akan memberi kepercayaan yang tinggi kepada pelabur-pelabur asing dan domestik untuk pelabur untuk melabur negeri ini.
“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan peruntukan yang diberikan dalam Belanjawan 2021. Harapan saya adalah belanjawan kali ini dapat menggerakkan pembangunan di kawasan luar bandar dan dapat merangsang pertumbuhan industri-industri Sabah termasuk sektor pelancongan yang terjejas akibat Covid-19,” katanya. – SM