Nasionalpilihan

Belangsungkawa: Perginya Mamat Khalid bersama komedi satira

SIAPA yang tidak kenal dengan filem Hantu Kak Limah. Filem yang sarat dengan komedi tetapi dalam masa yang sama penuh dengan kritikan sosial.

Baik yang dewasa mahupun kanak-kanak, semuanya terhibur. Malah, ada juga yang mengkaji filem tersebut secara akademik untuk melihat kritikan sosial yang terdapat dalam setiap dialog mahupun babak.

Baik perihal politik mahupun isu-isu semasa, semuanya menjadi bahan satira Mamat dalam karyanya

Itu rencah utama yang ada dalam filem Hantu Kak Limah arahan pengarah, Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Mohd Khalid.

Untuk rekod, filem yang ditayangkan pada 2018 itu mencatatkan kutipan sebanyak RM36 juta lantas menjadikannya sebagai filem Melayu kedua dengan kutipan tertinggi setakat ini.

Namun, itu semua hanya tinggal kenangan apabila negara dikejutkan dengan pemergian Allahyarham kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 24 Oktober dipercayai akibat serangan sakit jantung.

Difahamkan Allahyarham sebelum itu telah jatuh pengsan di restorannya di Sarang Art Hub di Tanjung Malim dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Slim River.

Mamat bukan sahaja seorang pengarah yang mahir melahirkan sebuah filem berbentuk komedi, tetapi dia juga tidak pernah menyekat warna watak dalam setiap pelakon.

Bayangkan, pelakon dan penyanyi, Awie yang sebelum ini cukup sinonim dengan imej garang dan ganas ditukar menjadi watak yang menggelikan hati dalam siri filem Hantu Kak Limah.

Peralihan itu dibawakan Mamat dengan cara yang cukup sempurna sehinggakan ada yang terlupa dengan watak lelaki ‘macho’ dalam filem Maria Mariana.

Begitu juga dengan hero Malaya, Zul Ariffin yang sebelum ini sering diberikan watak lelaki yang cukup berketerampilan.

Tetapi diubah wataknya menjadi seorang bomoh yang handal dalam persilatan dan ilmu ghaib, tetapi dalam masa sama takut pada hantu.

Transisi watak yang dibawa Mamat terhadap pelakonnya tidak kekok. Malah, mendapat pujian daripada penonton.

Itulah kehebatan Mamat. Tiada yang mampu mengikuti caranya berkarya baik di layar perak mahupun kaca.

Mamat juga sering menjadikan loghat Perak dalam filemnya sekaligus mencerminkan jiwa kenegerian yang cukup kuat baginya yang dilahirkan di Ipoh, Perak pada 6 April 1963.

Adik kepada kartunis terkenal, Datuk Lat ini meninggalkan seorang isteri dan lima orang anaknya.

Pemergian Mamat juga dirasakan beberapa selebriti dan pemimpin negara antaranya pelakon, Que Haidar, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Annuar Musa.

Que Haidar menyifatkan Mamat sebagai antara individu yang mengembangkan bakatnya dalam industri seni negara.

“Antara pengarah terawal yg mengesan bakat saya. Bermula dengan satu iklan Putrajaya dan seterusnya menghadiahkan saya Amy Mat Piah juga Deris,” kata Que berkenaan wataknya dalam filem Rock.

Al-Fatihah buat Allahyarham Mamat Khalid, pengarah yang berada di dalam kelas tersendiri. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button