Bekas Penghuni Rumah Bonda Dipaksa Gigit Perut Bella Atas Arahan Bainun!
Seorang bekas penghuni Rumah Bonda memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa dia diarah oleh pengasas rumah kebajikan itu Siti Bainun Ahd Razali supaya menggigit perut seorang kanak-kanak perempuan sindrom Down yang dikenali Bella.
Yasmin Nahar Mahmood, 19, yang merupakan saksi pendakwaan kelima berkata, dia bertindak sedemikian kerana Bella tidak mengikut arahan Siti Bainun supaya berdiri di bahagian dobi (laundry) sebuah unit kondomonium di Wangsa Maju.
“Ini menyebabkan Siti Bainun geram, jadi dia arah saya ambil picagari berisi air panas, bagi pada Bella. Bella menggelupur, tapi dia (Bella) tak rasa sakit menyebabkan Siti Bainun jadi marah kemudian dia arah saya gigit perut Bella,” kata saksi itu.
Saksi itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas.
Menceritakan kembali kejadian di mana Bella ditemui dengan kesan luka pada 24 Jun 2021, Yasmin berkata rakan baik Siti Bainun, Zurianty Sudin yang merupakan saksi pertama yang dikenali sebagai ‘mommy’ menangis apabila tiba di pintu pagar unit kondominium tersebut apabila melihat keadaan Bella yang kurus seperti tidak cukup makan.
“Kedatangan ‘Mommy’ datang ke kondominium untuk bertanya khabar begitu juga anak-anak kecil lain. Mommy terkejut apabila melihat Bella dan bertanya kepada kami kenapa Bella boleh jadi begini.
“Kami beri alasan Bella tidak mahu makan dan membuang makanan, tidak mahu mandi, nakal dan tidak mendengar arahan serta bertindak agresif,” katanya.
Bagaimanapun saksi itu berkata, Siti Bainun melalui panggilan telefon telah mengarahkannya mengajar Bella supaya menipu sekiranya ada orang bertanya mengenai kecederaan Bella.
“Contohnya, kalau ada orang tanya Bella “ada orang pukul tak”, suruh Bella cakap “tak ada”. Kalau ditanya mengenai kecederaan air panas pula, suruh Bella beritahu, dia buat kepada diri sendiri.
Saksi itu memberitahu, dia dan dua lagi penghuni itu tidak sempat mengajar Bella kerana Mommy telah menelefon ambulans dan Bella telah dibawa turun ke bawah kondominium untuk menaiki ambulans.
Ujar saksi itu, dia berasa takut selepas ‘mommy’ mengetahui keadaan Bella, namun menjadi lebih takut sekiranya Siti Bainun mengetahui mereka memecahkan rahsia berkenaan(kecederaan Bella).
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung lagi Rabu depan.