MahkamahNasional

Bekas CEO Astro beri keterangan kali kedua kepada SPRM

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi mengambil keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro, Datuk Rohana Rozhan susulan pendedahan berhubung pembelian sebuah rumah di London bernilai USD10 juta dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Amerika Syarikat (AS).

Menurut sumber yang dipetik BERNAMA hari ini, Rohana hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi tadi dan proses mengambil keterangannya berlangsung selama tiga jam.

SPRM memaklumkan, pihaknya ambil keterangan Rohana sekali lagi bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung beberapa perkara.

“Terdapat beberapa dokumen yang SPRM ambil daripada Rohana bagi membantu siasatan,” katanya.

Pada Khamis lalu, Rohana tampil memberi keterangan kepada SPRM selama sembilan jam bagi membantu siasatan berkaitan isu berkenaan yang disebut dalam perbicaraan kes 1MDB di mahkamah AS.

SPRM memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Untuk makluman, isu berkaitan pembeliah sebuah rumah di London dan nama Rohana disebut oleh bekas Pegawai Bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner yang mendakwa mereka mempunyai hubungan sulit sejak 2003 hingga 2013.

Hubungan itu menurut Leissner, bagaimanapun berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti popular, Kimora Lee.

Dalam keterangannya, Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang antirasuah AS dan konspirasi pengubahan wang.

Dua hari lepas, SPRM bertindak mengeluarkan perintah membekukan aset dan akaun bank Rohana susulan pendedahan berkaitan dengan 1MDB.

SPRM mengeluarkan perintah pembekuan aset dan akaun bank bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd itu seperti dilaporkan Astro Awani yang memetik sumber.

Sumber SPRM dipetik berkata, langkah pembekuan aset dan akaun Rohana itu menyusul siasatan ke atas dakwaan pembelian rumah oleh bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner yang menggunakan dana 1MDB.

Oleh itu, Rohana dilarang melakukan sebarang transaksi melibatkan akaun bank miliknya di United Kingdom (UK).

Menurut SPRM lagi, pembekuan aset itu dibuat di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Ia dibuat ketika SPRM memulakan siasatan terhadap dakwaan Tim Leissner yang mendakwa beliau diugut oleh Rohana supaya membelikan sebuah rumah bernilai USD10 juta di London,” katanya.

Terdahulu, (kali pertama), Rohana dilaporkan disoal siasat lebih lapan jam di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

Dalam prosiding berkaitan 1MDB di Amerika, menerusi keterangan dilaporkan Bloomberg, Leissner mendedahkan hubungannya dengan Rohana terjalin sejak 2003 hingga 2013.

Kata Leissner, beliau membeli sebuah rumah bernilai USD10 juta di London pada 2013 untuk Rohana selepas kekasih sulitnya itu mengugut akan mendedahkan pembabitannya dalam skandal 1MDB. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button