pilihanPolitik

Bekas banduan harap mereka tidak didiskriminasi dengan adanya Anwar Ibrahim

“Aku kerja dekat Hotel Ixxxs, Kuala Lumpur. Kena buang. Aku kerja dengan syarikat penghantaran, Jxx pun kena buang. Semuanya lepas HR (bahagian sumber manusia) diorang check background aku.”

Itulah luah seorang bekas banduan, Razak (bukan nama sebenar), 47, yang pernah ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana kesalahan lampau iaitu terlibat dengan aktiviti penjualan dadah.

Bagi Razak, dia seperti hilang kepercayaan untuk meneruskan kehidupan normal sebagai seorang anggota masyarakat yang baik kerana semua syarikat swasta mendiskriminasi bekas banduan.

“Cuba cerita dekat aku. Dekat mana aku boleh cari rezeki yang halal? Yang boleh buatkan aku tak mencuri, merompak, meragut atau sampai tersalah langkah dengan jual dadah sebab duit?

“Aku nak jadi orang yang baik. Tapi semua syarikat yang pernah aku kerja ni, layan bekas banduan macam sampah. Kerajaan dulu pun tak pernah ambil kisah pasal kitaorang,” kongsinya dengan penuh kecewa.

Razak berkata demikian ketika ditemui Suara Merdeka mengenai harapannya sebagai rakyat Malaysia yang sedang menerima Kerajaan baharu di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah kena perkara yang sama (dipenjarakan), dia pasti tahu betapa sengsaranya untuk keluar sebagai anggota masyarakat normal. Tapi untungnya dia, dia ahli politik, ada pengaruh.

“Kami ni bagaimana? Siapa nak bela kami? Bekas banduan bukannya termasuk dalam senarai golongan rentan sedangkan kami juga sangat perlukan bantuan untuk bekerja dan cari rezeki yang halal,” tegasnya.

Razak percaya, bukan dia seorang sahaja yang mengalami ketidak adilan sedemikian rupa kerana penjara cuma disiplin kami untuk jadi masyarakat yang baik, bukan sekarang seorang yang dipandang berkualiti.

“Dekat penjara, kami belajar macam-macam. Bila nak praktikkan ke dalam dunia pekerjaan, bahagian sumber manusia pula sengaja korek kisah silam dan imej kami terus buruk.

“Bukannya diberi tempoh untuk berhenti dan cari kerja lain. Tetapi diberhentikan serta-merta. Dekat siapa lagi kami nak mengadu? Pejabat Kerajaan mana yang nak dengar suara bekas banduan?” soalnya.

Dengan pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu, Razak berharap suara kecilnya turut didengari walaupun dia rasa mustahil kerana dia antara golongan yang didiskriminasi.

“Aku cuma nak Anwar kalau boleh wujudkan satu polisi kepada semua syarikat yang ada dalam Malaysia ni, bukan sahaja ambil OKU bekerja, malah ambil juga bekas banduan yang ada kelakuan baik.

“Buatlah cross check dengan pihak penjara. Jangan terus buang pekerja macam bekas banduan tak ada anak bini nak bagi makan. Sudahlah terpisah lama. Aku takut aku terjebak ke dunia jahat tu lagi. Tolonglah aku,” rayunya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button