MahkamahNasional

Bekas ADUN Sedeli dibebas dan dilepaskan tuduhan mencabul

MAHKAMAH Majistret Muar hari ini melepas dan membebaskan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain, pada akhir kes pendakwaan bagi pertuduhan kes seksual dihadapinya pada 12 Jun, tahun lalu.

Majistret, Analia Kamaruddin dalam penghakiman ringkasnya menyatakan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Rasman.

“Setelah menilai kebolehpercayaan saksi-saksi pihak pendakwaan secara maksimum sepanjang perbicaraan, oleh yang demikian, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan dan wang jaminan dikembalikan semula,” lapor Berita Harian.

Sementara itu, Rasman menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga terhadap keputusan ini apabila dapat menegakkan kebenaran bagi dirinya.

“Saya bersyukur kerana keputusan ini dapat membersihkan nama baik saya dan keluarga.

“Saya bersyukur kerana masalah ini selesai kerana jika tidak nama saya tercalar.

“Apabila dituduh saya reda dan dengan keputusan mahkamah ini, saya rasa nama baik saya dan keluarga sudah dikembalikan semula.

“Respon keluarga saya selepas diberitahu berita kemenangan ini masing-masing menelefon dan memberikan sokongan termasuk dalam kalangan besan dan menantu,” katanya.

Beliau berkata, tidak menyimpan dendam terhadap pemfitnahnya kerana tiada siapa yang tahu siapakah pihak yang menjadi dalangnya.

“Selepas ini saya akan teruskan semula kehidupan tanpa rasa tekanan dan akan kembali semula ke dunia politik,” katanya.

Rasman merupakan ADUN Sedili yang pernah berkhidmat selama tiga penggal sejak 2008 sehingga 2022.

Beliau tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 dan PRU15.

Untuk rekod, sepanjang perbicaraan berlangsung, pihak pendakwaan mengemukakan empat orang saksi.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Bin Tengku Abdul Rahman bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos.

Manakala Rasman diwakili peguam bela Muhammad Mohd Nasir, Muhammad Izzad Syafiq Ismail dan Mohamad Alias Rasman.

Terdahulu, Rasman mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita, Januari tahun lalu.

Tertuduh berusia 54 tahun yang juga Ketua Bersatu Kota Tinggi membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, Rasman didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 27 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatan wanita berkenaan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button