Nasional

Bayi lelaki dibuang nyaris jadi makanan anjing

SEORANG bayi lelaki berusia kurang seminggu yang dibuang di dalam sebuah beg berwarna jingga nyaris menjadi makanan anjing apabila diselamatkan oleh seorang pemandu lori.

Ini ekoran apabila tangisan bayi itu didengari oleh pemandu lori tersebut dalam kejadian di Pantai Paka, Dungun  hari ini.

Bayi yang sudah dipotong tali pusat ditemukan pada pukul 2 petang dalam keadaan tidak berpakaian dan kesejukan dalam beg yang diletakkan dalam sebuah longkang di pantai peranginan tersebut.

Pemandu lori berkenaan, Mohd. Zoo Abd. Rahman, berkata, ketika itu  dia sedang berehat di tepi pantai tersebut setelah menyelesaikan tugas mengambil kayu palet di sebuah kilang berhampiran.

“Sewaktu saya sedang berehat, saya terlihat dua ekor anak anjing berkeliaran sebelum terdengar bunyi tangisan bayi dari dalam beg yang diletakkan di dalam longkang kering berhampiran.

“Saya segera berlari menghalau anak anjing tersebut dan sebaik membuka beg tersebut, alangkah terperanjat apabila melihat bayi lelaki sedang kesejukan,” katanya ketika seperti yang dipetik dari Kosmo!

Katanya, bayi itu hanya dialas dengan sehelai kain lusuh di dalam beg berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika memberitahu bayi itu telah dihantar ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.  – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button