“Bayar Sini RM100..” – Aksi anggota trafik minta rasuah dirakam Youtuber antarabangsa
Pelancong luar negara yang juga merupakan Youtuber menerusi akaun TREAD the globe secara tidak sengaja merakam aksi seorang anggota polis trafik yang meminta rasuah.
Pasangan Youtuber itu pada asalnya ditahan atas alasan kononnya memandu melebihi had kelajuan yang dibenarkan dan digertak bahawa akan disaman dengan nilai RM300.
Namun yang lucunya, nilai RM300 tersebut hanya perlu dibayar jika kedua-dua pasangan itu mahu selesaikannya di balai polis.
Sebaliknya, jika mahu selesaikan segera di jalanan tanpa perlu membuang masa ke balai polis, anggota polis berkenaan menawarkan diskaun dengan cara hanya membayar RM100.
Video Youtube yang dimuat naik ke akaun TREAD the globe dengan tajuk UK Van Lifers STOPPED by the Police in MALAYSIA mendapat perhatian dan reaksi netizen.
Masing-masing bengang kerana yang pertama, anggota polis trafik itu buat hal dengan YouTuber yang memiliki lebih 130,000 subscriber dan kedua, jelas memburukkan nama polis dan negara Malaysia.
Aksi penuh suci dan murni anggota polis berkenaan boleh ditonton pada minit ke 4.00 dan berdasarkan kejadian ini, pihak pengurusan tertinggi polis memang kena cantas budaya ke ‘syurga’ ini.