Bola SepakSukan

Barcelona mahu jual Messi pada harga RM1.38 billion

BARCELONA kini terdesak berunding dengan Manchester City untuk menjual Lionel Messi pada harga 250 juta pound (RM1.38billion).
Peguam City pula sedang meneliti klausa yang terdapat di dalam kontrak Messi bagi mencari jalan mendapatkan pemain Argentina itu secara percuma, tetapi bos Barca yang kini berdepan kesulitan berharap Blues akan bersetuju menerusi perjanjian tersebut.
Sunday Mirror Sport difahamkan kedua-dua kelab percaya Messi sememangnya berhasrat untuk berpindah ke City.
Cuma yang menjadi persoalan kini ialah sama ada Messi menyertai City dengan kerelaan Barcelona atau perpindahan tersebut yang dijangka mencetuskan kontroversi dalam sejarah bola sepak terpaksa diputuskan oleh FIFA ataupun Mahkamah Timbang Tara Sukan.
Messi telah memaklumkan kepada kelab gergasi Catalan itu bahawa dia mahu meninggalkan Nou Camp, dan berhasrat bersatu kembali dengan Pep Guardiola di Etihad.
Selepas sedekad cuba memikat pemain berusia 33 tahun itu ke Manchester, Blues percaya mereka akhirnya berjaya mendapatkan khidmat Messi.
Bos baharu Barca, Ronald Koeman memberitahu kenalannya sewaktu bercuti di Belanda bahawa dia telahpun merancang untuk meneruskan kehidupan tanpa pemain No. 1 dunia itu.
Koeman berharap perjanjian tersebut membolehkan dia membawa masuk Gabriel Jesus dan Bernardo Silva ke Nou Camp yang mana hasratnya itu telah ditolak oleh City.
Bagaimanapun, Guardiola masih ada pemain lain yang sedia untuk dikorbankan termasuk John Stones, Nicolas Otamendi, Benjamin Mendy, Joao Cancelo, Oleksandr Zinchenko dan Angelino.
Namun, nama-nama tersebut masih belum dipastikan bersedia diterima oleh Koeman, walaupun Barcelona ada menunjukkan minat terhadap pertahanan muda City, Eric Garcia ekoran keputusan pemain itu menolak untuk menandatangani kontrak baharu.
Barcelona juga berharap dapat mengumpul sekurang-kurangnya 120 juta pound (RM667 juta) bagi membolehkan Koeman membentuk kembali pasukan.
Guardiola dan Koeman adalah bekas rakan sepasukan semasa bermain bersama Barca dan mereka berdua masih kekal bersahabat.
Mereka sering bertemu untuk makan malam bersama sewaktu warga Belanda itu masih menjadi pengendali Everton.
Guardiola dikatakan telah meluangkan masanya selama beberapa hari di Barcelona sebelum kembali memulakan sesi latihan pra-musim.
Difahamkan, dia telahpun bercakap dengan Messi dan juga Koeman tentang konflik antara pemain itu dengan presiden Nou Camp, Josep Maria Bartomeu.
Messi tetap menegaskan bahawa dia bebas untuk mengaktifkan klausa perpindahan percuma di dalam kontraknya.
Barcelona mendakwa perjanjian itu telahpun tamat pada 10 Jun lalu dan tidak boleh diguna pakai sehingga, musim panas akan datang.
Namun, Messi mempertikaikan bahawa dia masih berhak memaklumkan kepada kelab terhadap hasratnya untuk meninggalkan Barca kerana musim telah dipanjangkan ekoran krisis coronavirus.
Pasukan perundangan City kini sedang menyiasat kes tersebut, tetapi Bartomeu dalam temu bualnya di stesen televisyen, tahun lepas berkata:
“Messi masih memiliki kontrak yang ditandatanganinya selama dua tahun di mana pemain itu dibenarkan meninggalkan Barca sebelum musim 2020/21 bermula.
“Dia sama ada boleh meninggalkan terus bola sepak atau ke tempat lain. Pemain sepertinya berhak memiliki kebebasan. Mereka boleh membuat keputusan tentang masa depan sendiri.”
Dalam satu lagi pendedahan, Bartomeu telah bertindak memecat pasukan perundangan Barcelona iaitu firma guaman Cuatrecasas selepas mendapat tahu mereka turut menasihatkan Messi bahawa dia mempunyai hak meninggalkan kelab itu.
Menerusi laporan di Argentina, bapa Messi, Jorge akan terbang ke Sepanyol, hari ini bagi menyelesaikan kemelut yang melanda anaknya dan memastikan Messi dapat berpindah ke City.
Messi juga telah memaklumkan kepada Barcelona bahawa dia tidak akan melaporkan diri kepada kelab itu bagi menjalani ujian Covid-19 pada Ahad. – Mirror UK – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button