Nasional

Bantuan untuk penduduk Dayak Islam serlah keunikan Sarawak

SARAWAK adalah sebuah negeri yang agak unik jika dibandingkan dengan kebanyakan negeri-negeri yang lain di Malaysia.

Kepelbagaian kaum dan agama serta keunikan adat resam dan etnik yang pelbagai menyerlahkan lagi kekayaan budaya yang mencorakkan kekuatan rakyat di Bumi Kenyalang itu.

Baru-baru ini berlangsung sebuah
majlis ramah mesra antara penduduk di Kampung Pangkalan Sorak, di Serian melibatkan keluarga Dayak Islam, asnaf dan warga tua.

Majlis berkenaan yang dianjurkan ahli jawatankuasa Parti Peribumi Bersatu Malaysia Sarawak (Bersatu), cawangan Kampung Pangkalan Sorak, Bahagian Serian itu telah menyerlahkan keunikan budaya dan agama di negeri tersebut.

Majlis berkenaan yang berlangsung di kediaman Ketua Armada Bersatu cawangan Kampung Pangkalan Sorak, Encik Rizal bersama isterinya Puan Azaliza, walaupun sederhana namun sangat dihargai penduduk Dayak beragama Islam di situ.

Menurut  Azaliza yang juga Setiausaha Srikandi Bahagian Serian penduduk terlibat sangat berterima kasih atas ingatan dan sumbangan yang diberikan.

Ini kerana sumbangan yang berupa makanan seperti beras dan kuih muih yang disumbangkan Persatuan Persaudaraan Dayak Islam Malaysia (Pedi) itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung.

Yang paling dihargai oleh penerima bantuan tersebut ujar Azaliza adalah sumbangan berbentuk al-Quran yang amat berguna sebagai panduan dan pegangan oleh penduduk kerana ada dalam kalangan mereka yang baru memeluk Islam.

Adalah diharapkan lebih banyak bantuan sebegini dapat dilakukan di seluruh negeri Sarawak bagi memastikan semangat muhibbah dan saling bantu membantu tetap mekar tanpa mengira latar belakang kaum dan budaya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button