Bank Rakyat sumbang dermasiswa RM1.48 Juta kepada pelajar terpilih di Jordan
BANK Rakyat telah menyampaikan dermasiswa penuh berjumlah RM1.48 juta kepada lapan pelajar terpilih yang akan melanjutkan pengajian di The World Islamic Sciences and Education University (WISE), Amman, Jordan.
Seramai tujuh pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan memulakan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Fiqh Syafie di Universiti WISE selama empat tahun, bermula dari 2024 hingga 2028. Sementara itu, seorang pelajar lain akan menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang yang sama selama dua tahun, dari 2023 hingga 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman, menyatakan bahawa pemilihan pelajar-pelajar yang terdiri daripada kalangan asnaf ini adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial Bank Rakyat melalui Jabatan Pengurusan Zakat, Pembangunan Islam, dan Hal Ehwal Surau.
“Dana zakat yang disumbangkan sepenuhnya untuk menanggung kos pelajaran mereka adalah satu pelaburan jangka panjang bagi melahirkan modal insan berkualiti dalam bidang Syariah. Mereka ini akan menjadi tulang belakang industri perbankan dan kewangan Islam negara kita di masa hadapan, Insya-Allah,” ujarnya.
Selain itu, para pelajar akan mengikuti kelas tambahan dan intensif di Pusat Madarik di bawah kendalian Syeikh Dr. Amjad Rasyid. Di sini, mereka akan mempelajari kitab-kitab turath Fiqh Syafie secara mendalam, satu usaha penting untuk memastikan mereka benar-benar mahir dan berwibawa dalam bidang ini.
Dato’ Dr. Mohammad Hanis juga menekankan harapannya agar para pelajar memanfaatkan peluang ini sepenuhnya dan mengingatkan mereka bahawa mereka membawa harapan diri sendiri, keluarga, Bank Rakyat, dan negara. “Saya yakin dengan usaha gigih, disiplin, dan doa, anda semua akan mencapai kejayaan yang cemerlang, Insya-Allah.”