Ekonomi

Bank Rakyat raikan Jubli Platinum

Bank Rakyat yang bakal mencapai usia Jubli Platinum
menjelang 28 September ini, tetap utuh setelah merentasi zaman dan evolusi bagi melaksanakan peranan dan mandatnya demi kemampanan dan kesejahteraan pelanggan serta anggotanya dari setiap pelusuk negara.

Menelusuri 70 tahun penubuhannya, Bank Rakyat yang ditubuhkan pada 1954 di bawah
Ordinan Syarikat Kerjasama 1948 masih kekal relevan sebagai bank pilihan seluruh
peringkat komuniti tidak kira di bandar mahu pun luar bandar, di samping melakar
pelbagai kejayaan saban tahun.


Baru-baru ini, Bank Rakyat menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah
Inspirasi Madani pada Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2024, Anugerah Prestasi
Terbaik 2022-2023 bagi Institusi-institusi Kewangan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan
Berhad dan The Platinum Award for CSR and ESG Leadership bagi inisiatif
RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur pada 16th Annual Global CSR and ESG
Summit and Awards 2024.

Bank koperasi Islam terbesar di Malaysia ini juga terus konsisten dalam mencatatkan
prestasi kewangan yang memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 31
Disember 2023 menerusi keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM1.76 bilion
dengan kadar dividen sebanyak 15% kepada anggotanya.
Bank Rakyat juga telah mengumumkan dividen istimewa sebanyak 2% dengan jumlah
pembayaran sebanyak RM56.62 juta yang mana akan dilaksanakan pada September ini
bersempena dengan sambutan ulang tahunnya ke-70.

“Di sini dapat kita lihat bahawa Bank Rakyat masih lagi mengekalkan prestasi kadar
dividen berjumlah dua digit sejak tahun kewangan 1999 sehingga kini iaitu selama 24
tahun, selain kekal sebagai salah sebuah institusi kewangan Islam sepenuhnya terbesar
di Malaysia,” ujar Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dalam ucapannya ketika Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2024 hari
ini.

Datuk Mohd Irwan bagaimanapun menekankan bahawa kejayaan yang dikecapi Bank
Rakyat sehingga ke hari ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan padu
daripada anggotanya yang merangkumi 800,559 individu dan 2,264 koperasi yang
merupakan akar umbi dan teras yang penting bagi institusi ini, di samping semangat
kerjasama dan perpaduan antara pucuk pimpinan serta seluruh warga kerjanya.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Dato’ Ramanan Ramakrishnan yang hadir bagi merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan tersebut, menzahirkan rasa bangga beliau terhadap barisan kepimpinan Bank Rakyat yang telah mengemudi institusi ini ke peringkat tertinggi walaupun berdepan dengan pelbagai
cabaran sepanjang 70 tahun penubuhannya.

YB Dato’ Ramanan berkata,
“Sebagai Kementerian yang dipertanggungjawabkan dalam
hal ehwal pembangunan keusahawanan dan koperasi, KUSKOP sentiasa menyokong
penuh inisiatif Bank Rakyat dalam memacu pembangunan sektor keusahawanan serta
koperasi negara.”
Komitmen berterusan Bank Rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif keusahawanan seperti Program Santai Namun Sampai, RAKYATpreneur, Bank Rakyat
UNIpreneur serta inisiatif S.U.T.E.R.A yang menghubungkan usahawan dengan pelbagai
pihak berkepentingan termasuk agensi Kerajaan juga telah memberikan impak yang
besar.

“Usaha ini adalah amat sejajar dengan matlamat KUSKOP menerusi Dasar
Keusahawanan Nasional (DKN) dalam melahirkan usahawan yang berdaya saing dan
kompetitif di pasaran domestik mahu pun global, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai
sebuah negara keusahawanan yang unggul menjelang 2030, khususnya dalam kalangan
perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi.”

“Ini adalah kerana industri keusahawanan termasuk koperasi memainkan peranan
penting dalam menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara dan juga merupakan
salah satu growth engine yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) negara,
” tambah YB Dato’ Ramanan.

Sebelum mengakhiri ucapan beliau, YB Dato’ Ramanan turut menyeru setiap agensi di
bawah KUSKOP khususnya Bank Rakyat untuk sentiasa bersiap sedia dalam
menghadapi cabaran baharu pada masa hadapan agar berupaya menangani setiap
kekangan dalam era semasa, di samping memperkasa operasi Bank dalam bidang digital
bagi meningkatkan kecekapan dan memperluas pengalaman pelanggan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button