Bank Rakyat mohon pelanggan beri maklum balas tawaran moratorium
Bank Rakyat komited memastikan kelancaran penyediaan kemudahan moratorium pembiayaan kepada pelanggannya selama 6 bulan bermula 1 April 2020 yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia pada 25 Mac 2020 yang lalu.
Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Rosman Mohamed berkata, bermula 2 Mei 2020 Bank Rakyat telah memaklumkan kepada pelanggannya mengenai kaedah untuk menerima tawaran moratorium pembiayaan tersebut.
“Pelanggan hanya perlu memberi maklum balas melalui ‘e-borang’ yang disediakan di laman sesawang Bank Rakyat atau melalui capaian https://mora.bankrakyat.com.my yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).”
“Mereka dikehendaki menghantar ‘e-borang’ yang telah diisikan sebelum atau pada 29 Mei 2020. Pelanggan yang tidak memberikan maklum balas dalam tempoh yang telah diberikan akan dikira sebagai tidak meneruskan moratorium,” jelasnya.
Menurut beliau, bagi pelanggan yang memilih untuk meneruskan moratorium, penstrukturan semula pembiayaan dengan kadar keuntungan asal dan lanjutan tempoh moratorium akan dilaksanakan.
Manakala bagi pelanggan yang memilih untuk tidak meneruskan kemudahan moratorium tersebut, mereka perlu menjelaskan ansuran bulanan seperti biasa bermula pada bulan Jun 2020.
Mereka juga akan diberi tempoh masa untuk menjelaskan ansuran bulanan yang tidak dibayar sebelum ini semasa tempoh moratorium tanpa sebarang caj lewat bayar.
“Menerusi pengumuman ini adalah diharapkan pelanggan Bank Rakyat yang terdiri daripada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), mikro dan koperasi termasuk golongan B40 dapat menjalani tempoh yang mencabar ini secara positif serta yakin bahawa Bank Rakyat sentiasa prihatin dengan isu melibatkan keperluan pelanggannya di seluruh negara,” tambah Dato’ Rosman.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang www.bankrakyat.com.my atau ikuti media sosial rasmi Bank Rakyat. – SM