Ekonomi

Bank Rakyat kekalkan tradisi, edar lebih 20,000 pek bubur lambuk di seluruh negara

BANK RAKYAT meneruskan tradisi pengedaran bubur lambuk yang memasuki tahun kesebelas berturut-turut penganjurannya pada tahun ini dengan mengagihkan lebih 20,000 pek bubur lambuk kepada komuniti setempat di 11 lokasi di seluruh negara.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, istimewa bersempena dengan ulang tahun Bank Rakyat yang ke-70 dan kempen Ramadan Raya ‘Tulus Ikhlas’ pada tahun ini, sebanyak 70 kawah digunakan untuk menyediakan bubur lambuk, berbanding dengan tahun lepas yang melibatkan 20 kawah bagi membolehkan lebih ramai lagi dapat menikmati juadah simbolik bulan Ramadan ini.

Program memasak dan mengedar bubur lambuk tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah bersama-sama Jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman di lokasi utama, Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur.

Program itu merupakan inisiatif yang dilaksanakan oleh Bank Rakyat bagi mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti bermanfaat yang memupuk semangat muhibah, selain merupakan inisiatif Jangkauan Komuniti Bank Rakyat untuk mendekati dan berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat.

Bubur lambuk itu diagihkan kepada orang ramai bermula jam 2.00 petang di sekitar kawasan Shah Alam (Selangor), Jalan Ipoh dan Bangsar (Kuala Lumpur), Alor Setar (Kedah), Kuala Terengganu (Terengganu), Kuantan (Pahang), Gopeng (Perak), Ayer Keroh (Melaka), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kota Sentosa (Sarawak). – SM 

Artikel berkaitan > Bank Rakyat perkenal platform Sandbox, pacu inovasi kewangan Islam

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button