Nasional

Bangkanglah apa sahaja Hannah Yeoh – Ismail Sabri

MENTERI Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenyataan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang menggesa Ismail supaya berhenti mengadakan sidang akhbar harian disifatkan sebagai sikap seorang pembangkang yang terus ada dalam diri ahli DAP itu.

Ismail berkata, “Dia kan pembangkang, Tak sah bagi dia kalau tidak bangkang. Dia bangkanglah apa sahaja. Dia tidak tahu Kabinet ini yang ada, tidak akan dibuang.”

Hannah dalam media sosialnya juga mengatakan sidang akhbar harian Ismail Sabri tidak ada perkara yang substantif yang diumumkan sebaliknya hanya mempromosikan baju yang dipakai oleh Ismail.

Untuk kenyataan Hannah itu, Ismail berkata, “tidak ada pun saya mempromosikan apa yang ada di belakang saya.

“Sidang akbar harian yang saya adakan adalah apa yang rakyat nak tahu.  Sebagai contoh, kalau terserempak di mana-mana atau terjumpa orang degil tak nak pakai pelitup muka.

“Ini menyebabkan orang bimbang dan mereka mahu pihak berkuasa, polis melakukan tindakan. Apakah kerajaan ambil tindakan?

“Kalau saya tak melaporkan, kerajaan tak lakukan apa-apa pun. Setiap hari saya akan sebut, berapa tangkapan.”

Ismail Sabri juga berkata, dalam sidang akhbar hariannya turut disentuh tentang pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah kerana rakyat mahu tahu.

“Orang bimbang kemasukan PATI, di Sabah dan PATI inilah antara penyebab Covid-19 merebak. Kerajaan ambil tindakan tegas ke atas pendatang asing yang nak masuk ke negara kita.

“Pantai timur Sabah ini panjang, beribu kilometer. Di sempadan Sarawak sempadan Kalimantan, luasnya, panjangnya.

“Rakyat tentu bimbang. PATI-PATI membolosi masuk ke negara kita, rakyat nak tahu apa tindakan kerajaan. Tindakan ke atas PATI diambil oleh polis, tentera, pihak berkuasa beruniform lain.

“Jadi, rakyat sedar kerajaan melakukan sesuatu. Sebab itulah setiap hari ada dua perkara dilakukan, saya akan bersiaran secara live setiap hari maklumkan tindakan kerajaan dan ini berkaitan dengan non-health,” kata Ismail memberi penjelasan panjang lebar.

Satu lagi sidang akhbar harian yang diadakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah ialah berkaitan dengan kesihatan.

“Director General (DG) atau Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Hisham mengadakan sidang akhbar tentang tindakan strategi kesihatan.

“Jadi, saya di non-healthy atau bukan melibatkan kesihatan. Itulah yang saya laporkan setiap hari.

“Mungkin Ahli Parlimen itu nak laporan yang lain, tak tahu apa yang dia nak saya laporkan.

“Lupakan perbezaan politik. Saya pun nak mengajak dia bersama untuk memfokuskan, kita sama-sama perangi pendamik Covid-19, sekat Covid-19 di kalangan rakyat Malaysia,” ujar Ismail Sabri.

Pada sidang akhbar hari ini, Ismail Sabri turut menerima cadangan agar pusat kuarantin diwujudkan di pulau-pulau di Tawau.

Ini bagi memudahkan penduduk yang sukar untuk mendapatkan rawatan, lebih mudah mendapat rawatan terutamanya ujian saringan kesihatan Covid-19.

“Ini satu cadangan yang baik dan akan dibincangkan dengan pihak MKN Sabah.

“Kita akan panjangkan cadangan ini kepada Kementerian Kesihatan kerana ia melibatkan pusat kuarantin di pulau dan kita akan bincang dengan Nadma sekali,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button