Terdesak untuk mendapatkan wang, seorang lelaki berusia 25 tahun cuba membakar mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 12.55 tengah hari pada 24 Oktober lepas.
“Kami diberitahu ATM mempunyai kesan melecur, berkemungkinan daripada cubaan untuk mencuri wang.
“Rakaman televisyen litar tertutup mengesahkan suspek dilihat memasuki premis itu dan membakar mesin berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ashari berkata polis percaya lelaki itu mempunyai hutang ‘ah long’ yang besar.
Sehubungan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun pada 12.45 pagi semalam
“Polis turut merampas pakaian yang dipakai serta tangki minyak serta kenderaan yang digunakannya ketika kejadian,” katanya.
Ashari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 435 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.