Bakal pengantin lelaki dikhuatiri lemas di Pantai D’Marang Village
Lemas di laut sehari sebelum majlis akad nikah, kenduri kahwin
JODOH pertemuan, ajal dan maut di tangan Tuhan. Sebagai hambaNYA, kita reda dengan ketentuanNYA. Bagi keluarga pengantin perempuan, mereka tetap meneruskan kenduri perkahwinan hari ini walaupun bakal pengantin lelaki dikhuatiri lemas dalam kejadian di Pantai D’ Marang Village, Kelulut, Terengganu, semalam.
Ismail Awang, 61, memberitahu pemberita BERNAMA, anaknya, Fatin Nabilah Huda, 27, dijadualkan bernikah dengan Naim Hariri Kamaruddin, 31, pada pukul 10 pagi tadi.
Majlis akad nikah pasangan ini sepatutnya diadakan di Masjid Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payung manakala majlis kenduri pula dijadualkan diadakan dari pukul 12 tengah hari tadi sehingga 4 petang ini.
“Namun, detik istimewa buat anak saya tidak berjalan seperti dirancang kerana Naim Hariri dikhuatiri lemas semalam.
“Kami sekeluarga reda dengan takdir yang menimpa namun kenduri tetap diteruskan hari ini kerana ramai tetamu sudah datang sejak pukul 10 pagi tadi,” katanya.
Ismail dan keluarga kelihatan tenang ketika melayan tetamu yang datang menzahirkan simpati sebaik mengetahui tragedi yang menimpa keluarga Ismail.
Semua persiapan seperti pelamin dan barang hantaran telah disediakan dan majlis kenduri yang diadakan itu juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Antara SOP yang perlu dipatuhi ialah membuat pemeriksaan suhu badan dan merekod butiran tetamu yang hadir melalui aplikasi MySejahtera.
Ismail berkata, mengikut perancangan, setelah majlis pernikahan berlangsung hari ini, kenduri menyambut menantu akan diadakan oleh pihak keluarga pengantin lelaki di Kuala Lumpur pada 9 Januari tahun hadapan.
“Saya sempat berjumpa Naim Hariri pagi semalam ketika dia datang ke rumah untuk melihat persiapan terakhir kenduri. Tak sangka pula ini yang berlaku.
“Memang sedih sangat dengan apa yang berlaku kerana terjadi hanya sehari sebelum majlis pernikahan berlangsung.
“Saya harap anak perempuan saya akan terus kuat semangat dan semoga Naim Hariri dapat ditemukan secepat mungkin,” katanya.
Naim Hariri dikhuatiri lemas setelah dipercayai hilang ketika mandi laut di pantai itu petang semalam. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang giat dijalankan. – SM