PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya bakal-bakal jemaah haji mempersiapkan diri dengan sebaik-baiknya kerana ibadat haji adalah perjalanan rohani yang memerlukan kekuatan fizikal, emosi dan ilmu pengetahuan yang jelas.
Baginda bertitah, sebelum berangkat ke tanah suci, bersihkan niat dan gunakan tenaga dan masa untuk melaksanakan amal ibadah secukupnya untuk mendapat haji mabrur.
Baginda turut mengucapkan tahniah kepada semua yang telah menerima jemputan dari Allah untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini dan syabas atas komitmen dan ketekunan untuk menyiapkan diri masing-masing dengan segala ilmu yang diperlukan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Tabung Haji atas usaha mereka untuk menganjurkan kursus-kursus secara fizikal dan juga secara dalam talian sebagai persediaan rohani untuk semua bakal haji.
Baginda juga menzahirkan rasa syukur atas makluman bahawa Tabung Haji dijangka akan menghantar seramai 31,600 jemaah Malaysia ke tanah suci pada tahun ini, yakni kembali ke kuota asal yang dibenarkan oleh Kerajaan Arab Saudi setelah dikurangkan hanya kepada 14,000 jemaah pada musim lalu akibat pandemik Covid-19.
Pemangku Raja Perlis berkenan merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perlis Musim Haji Tahun 1444 Hijrah di Dewan Ilmu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra, malam tadi.
Seramai 370 bakal haji terpilih dari Perlis mengikuti kursus ini sebagai persiapan terakhir sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Turut hadir Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Pengarah Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman.
Mengakhiri titah, “Kepada semua bakal Dhuyufurrahman tahun ini, beta mendoakan semuanya akan selamat sampai ke tanah suci dan pulang ke tanah air membawa haji yang mabrur, Insya-Allah.” – SM