PAKAIAN tradisional baju Melayu tidak seharusnya digunakan untuk stunt politik yang bukan-bukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Selangor Dusun Tua Edry Faizal Edry Yusof berkata, sebagai pencinta baju Melayu dan falsafah-falsafah disebaliknya, persalinan yang indah itu tidak sepatutnya digunakan untuk stunt-stunt politik.
Edry Faizal yang merupakan ADUN DAP berkata, Dewan Undangan Negeri juga sepatutnya digunakan untuk bertukar idea dan tidak menjadi tempat untuk menonjolkan siapa lebih Melayu.
“Sebab itu seharusnya kita di dewan berkumpul, kita harus mengambil peluang ini mencambahkan idea, bertukar idea dan bukannya cuba membuat stunt-stunt politik murah seperti nak tunjuk siapa lagi Melayu, mungkin yang tak pakai sut tak cukup Melayu, yang pakai baju Melayu lebih Melayu.
“Ini bukan benda yang kita perlukan dalam keadaan sekarang ini,” kata Edry Faizal dalam DUN Selangor.
Dua hari lalu sidang Dewan Undangan Negeri Selangor kecoh apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pembangkang didakwa telah melanggar etika pakaian.
Speaker Dewan Undangan Negeri Ng Suee Lim yang juga dari DAP berkata, sepatutnya ADUN menghormati etika pemakaian yang dibenarkan dalam sesi persidangan.
Menurut Suee Lim, kelonggaran diberikan kepada Adun untuk memakai baju Melayu apabila sidang diadakan pada Jumaat.
Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan ialah Datuk Mohd Shamsudin Lias (Sungai Burong), Zakaria Hanafi (Semenyih), Datuk Mohd Imran Tamrin (Sungai Panjang), Rizam Ismail (Sungai Air Tawar) dan Ahmad Yunus (Sijangkang) dari Pas dan UMNO.
“Kalau kita Melayu kita sayang anak bangsa kita, kita berdiri, kita bagi cadangan-cadangan yang bernas, kita bantu kerajaan dengan cadangan-cadangan yang baik.
“Kita buat semak dan imbang untuk memastikan anak bangsa kita, bukan sahaja bangsa kita, bangsa-bangsa lain juga untuk sama-sama dapat hidup dengan lebih baik dalam keadaan sekarang ini.
“Bukan kulit itu yang penting tapi isinya yang kita kena ambil kira. Tak guna kalau kita berjubah tapi hati kita hitam,” kata Edry Faizal.-SM