Sukan
BAC 2023: Yew Sin-Ee Yi bawa cabaran Malaysia ke final
BEREGU lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, terus mencipta kejutan apabila melangkah ke final Kejohanan Badminton Asia (BAC) dengan aksi penuh dramatik apabila menumbangkan gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebentar tadi.
Selepas mencipta kemenangan yang menakjubkan ke atas beregu nombor satu dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto semalam, mereka turun bertemu wakil Jepun yang mengatasi satu lagi beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana.
Pilihan kelapan kejohanan itu bermula dengan cemerlang, bijak mengawal permainan sebelum merekodkan kemenangan set pertama 21-16.
Set kedua menyaksikan kedua-dua wakil saling mengutip mata demi mata, Hoki-Kobayashi berusaha mengheret permainan ke set penentuan sementara Yew Sin-Ee Yi pula mahu menoktahkan kemenangan.
Selepas perlawanan terikat 20-20, aksi yang lebih mendebarkan dipamerkan sehinggalah dua kesilapan daripada Jepun memastikan kemenangan buat Yew Sin-Ee Yi sekaligus menempah slot ke final.