Babi, monyet berkeliaran di Putrajaya selepas lesen berburu dibatalkan
KITA tentu masih ingat kejadian seekor babi sesat ke dalam sebuah pusat beli-belah Alamanda di Putrajaya menggemparkan pada Disember tahun lalu.
Ia berlaku bukan kerana kebetulan, tetapi difahamkan ekoran pembatalan lesen memburu seluruh negara yang dibuat oleh pihak berkuasa.
Jika sebelum ini kita ketawa apabila seorang ahli yang berhormat di Melaka bercerita bagaimana seriusnya ancaman babi, jika tidak ditangani.
Kini masalah itu menular ke pusat pentadbiran negara iaitu Putrajaya. Ia berpunca daripada keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membatalkan semua lesen memburu. Dilaporkan 80 ekor babi telah ditembak di Putrajaya tahun lalu.
Tujuannya bagi membanteras kegiatan memburu haram yang dikhuatiri akan menyebabkan pupusnya haiwan langka.
Bagaimanapun kesannya kini kita dapat lihat kes kemalangan kenderaan melanggar babi juga semakin meningkat.
Sebagaimana berlaku di Tapah Januari lalu seorang pekerja restoran makanan segera maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlanggar babi hutan di KM59 Jalan Ipoh – Kuala Lumpur.
Itu baru cerita babi, belum lagi masalah monyet yang merosakkan tanaman yang semakin serius.
Justeru seorang pemegang lesen senjata api syarat memburu, Datuk Roslan Bian ketika ditemui berkata, sebagai seorang pemilik senjata api berlesen, saya dan pemilik-pemilik lain menyokong tindakan PDRM dan Jabatan Perhilitan melaksanakan Ops Khazanah bagi membanteras kegiatan pemburu haram di negara ini.
“Diakui, memang ada segelintir pemilik senjata api berlesen dan haram terbabit dalam aktiviti memburu yang boleh memusnahkan khazanah hidupan liar negara dan merosakkan alam sekitar.
Bagaimanapun, katanya, ramai lagi pemilik senjata api yang mempunyai syarat memburu tertakluk dan patuh kepada peraturan di bawah Akta Senjata Api dan Akta-akta di bawah Jabatan Perhilitan.
Mereka, jelas beliau, hanya memburu mengikut musim terbuka pada Bulan Mei hingga Ogos dengan memperolehi permit memburu dikeluarkan oleh Jabatan Perhilitan.
“Binatang buruan yang dibenarkan tertakluk kepada rusa, kijang, pelanduk, babi dan ayam hutan sahaja. Hanya babi dibenarkan diburu sepanjang tahun sebelum Jabatan Perhilitan baru-baru ini mewartakan tempoh itu yang kini dipendekkan kepada enam bulan sahaja dan pemburuan dibenarkan mulai Julai hingga Disember setiap tahun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak polis khusus Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador mengkaji semula arahan membatalkan syarat memburu di lesen senjata api.
Katanya, pemilik senjata api dengan syarat memburu sering diminta oleh pihak ladang sawit, getah, dan pekebun untuk memburu babi dan musuh tanaman yang merosakkan tanaman mereka. Di bawah Akta 716 Jabatan Perhilitan (musim terbuka, kaedah dan masa berburu) 2014, babi hanya boleh diburu dengan kaedah menembak.
Selain itu, ujar beliau, pemilik senjata api dengan syarat memburu juga terbabit membantu Pihak Berkuasa Tempatan dalam operasi menembak gagak khususnya di Lembah Klang dan Selangor.
“Tindakan membatalkan syarat memburu ini juga akan menyebabkan populasi babi dan gagak bertambah sekaligus akan mengancam keselamatan dan kerosakan harta benda selain menjejaskan perniagaan sarikat menjual senjata api dan peluru.
“Berdasarkan sebab-sebab di atas, saya percaya dapat mengkaji semula keputusan membatalkan syarat memburu dan jika ingin meneruskan juga arahan itu, bolehkan dibuat berdasarkan pertimbangan tertentu.
Antaranya, kata beliau, ia tertumpu kepada pemilik senjata api yang berusia 70 tahun ke atas atau faktor-faktor kesihatan yang tidak mengizinkan
Ujar beliau, mereka yang dikenalpasti menyalahguna senjata api untuk memburu di luar musim perlu dikenakan tindakan.
Ada lebih 7,000 senjata api ada syarat memburu telah dibatalkan sejak Mei tahun lepas.
Ini menyebabkan Jabatan Perhilitan tidak dapat memungut hasil daripada permit memburu ayam, pelanduk dan babi yang dibenarkan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).