Nasional

Rakyat diminta hentikan politik berpanjangan, tumpu pembangunan – Azmin

RAKYAT Malaysia harus menumpukan sepenuh perhatian untuk membangunkan negara dan menghentikan politik yang berpanjangan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata tumpuan khusus juga harus diberikan kepada pertumbuhan ekonomi negara, agar menjadi lebih rancak dan sokongan padu harus diberikan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam memimpin dan membangunkan ekonomi negara, ke peringkat global.

“Hentikan politik yg berpanjangan. Dalam Malaysia ini banyak sangat politik. Saban hari bercakap fasal politik. Hentikan.

“Ayuh kita beri sokongan yang kuat dan padu kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk memimpin negara kita, memimpin ekonomi dunia,” katanya dalam ucapan pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 Parlimen Ampang dan Dun Bukit Antarabangsa, malam tadi.

Majis itu turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Related Articles

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, sokongan padu itu diharap akan membolehkan Malaysia muncul sebagai negara yang mampu bersaing di peringkat global, selepas berlangsungnya Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), November ini.

Katanya sungguhpun Malaysia dan dunia sedang diuji dengan penularan wabak COVID-19, namun kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan, telah mengambil langkah yang proaktif, pantas, cepat dan efisyen, untuk memastikan wabak virus itu tidak merebak, sehingga menjejaskan ekonomi negara di peringkat akar umbi.

“Kerajaan hari ini berusaha merangka memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi dalam masa terdekat ini, untuk memastikan suntikan dana tambahan, akan dapat menjamin aliran tunai yang lebih baik serta tidak menjejaskan sektor lain, dan membawa kepada kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

“Percayalah usaha ini akan berjaya dengan dapat sokongan yang kuat dan padu daripada rakyat, syarikat perniagaan dan juga kerajaan, daripada peringkat negeri dan persekutuan.

Timbalan Presiden PKR itu turut berkata untuk memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat, kerajaan terus berusaha mencapai matlamat menerusi rancangan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 agar jurang pendapatan di antara kaum dan wilayah, di dalam negara ini dapat dirapatkan.

“…untuk Malaysia terus maju kehadapan kita kena pastikan setiap rakyat Malaysia tidak kira latar belakang mereka, mendapat pengiktirafan dan pembelaan. Jangan hanya tertumpu pada kawasan bandar sahaja, orang Cina di luar bandar, orang India di dalam estet, orang Melayu di kampung, juga harus mendapat pembelaan, begitu juga rakyat di Sabah dan Sarawak,” tambahnya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button