Sukan

Azizulhasni bersara, Shah Firdaus teruskan legasi

JAGUH keirin negara, Datuk Azizulhasni Awang secara rasmi mengumumkan persaraannya dan berharap Shah Firdaus Sahrom akan meneruskan legasinya dalam acara itu.
Beliau yang juga dikenali sebagai The Pocket Rocketman adalah sandaran untuk emas pertama negara di sukan olimpik, namun penyertaannya telah dibatalkan seawal pusingan pertama acara keirin.
Azizulhasni mengakui cukup terkesan dengan peristiwa hitam itu, namun yakin Shah Firdaus Sahrom, yang mara ke final acara keirin sebelum terlibat dengan kemalangan di selekoh terakhir di Velodrom Nasional Perancis semalam akan meneruskan legasinya.

“Saya tidak risau untuk berundur – memang saya akan berundur – kerana kita ada Shah Firdaus.
“Untuk memasuki pusingan akhir (final) Keirin di Sukan Olimpik bukanlah sesuatu yang mudah, itu adalah fakta.
“Ketika Olimpik Tokyo beliau terkandas di pusingan suku akhir dan penampilan kali ini di Paris beliau berada di final adalah satu prestasi yang amat cemerlang.

“Memasuki baki 100 meter perlumbaan, Shah datang dengan kelajuan yang meyakinkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa namun berlaku himpitan di selekoh terakhir yang menyebabkan beliau jatuh.

“Satu persembahan yang kita semua perlu bangga dan saya berharap Shah akan terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi dari masa ke semasa untuk terus kekal cemerlang di peringkat antarabangsa.

“Paling penting adalah untuk menggunakan empat tahun dari sekarang sebaik mungkin untuk mempersiapkan diri ke temasya LA2028. Mungkin bunyinya terlalu awal akan tetapi itulah realitinya apabila kita bergelumang di peringkat tertinggi ini.

“Akhir kata saya percaya Shah akan jauh lebih bagus dan boleh memberikan pencapaian jauh lebih cenerlang di LA2028 nanti,” katanya dalam hantaran di instagram. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button