Aziz Bari tepati syarat jadi MB Perak yang baharu
AHLI Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi dari DAP Dr. Abdul Aziz Bari yang merupakan Ketua Pembangkang Perak menepati syarat Undang-Undang Tubuh Negeri Perak untuk dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang baharu.
Pegawai Khas Pengerusi DAP Sarawak, Abdul Aziz Isa berkata, jika mengikut amalan biasa di negara-negara Komenwel yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, Ketua Pembangkang akan dipanggil untuk menyatakan sokongan.
“Jika Ketua Pembangkang Perak berjaya mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri, maka YB Dr Abdul Aziz Bari berkemungkinan besar akan dipilih sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.
“Kenapa berkemungkinan besar? Hal ini kerana mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri syarat untuk seseorang menjadi Menteri Besar adalah mestilah seorang yang beragama Islam dan berbangsa Melayu.
“Oleh yang demikian, YB Dr. Abdul Aziz Bari menepati syarat-syarat tersebut sebagaimana yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak untuk diangkat sebagai Menteri Besar Perak yang baharu,” kata Pengerusi DAP Batu Kitang itu.
Tegas beliau, seorang Menteri Besar yang baharu harus dipilih dalam kadar segera selepas tersingkirnya Datuk Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak agar pentadbiran negeri boleh berfungsi dengan lancar.
Aziz Isa yang merupakan pegawai khas Ahli Parlimen Stampin (DAP) Chong Cheng Jen berkata, sejarah besar akan tercipta sekiranya Aziz Bari benar-benar dilantik menjadi Menteri Besar Perak.
“Justeru, ianya akan menciptakan sejarah yang besar dalam politik Malaysia jika seorang wakil rakyat berbangsa Melayu dari DAP dipilih untuk menjadi Menteri Besar. Sama-sama kita nantikan perkembangan seterusnya,” kata Aziz Isa.
Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya yang berlangsung pada hari ini.
Sebanyak 48 undi tidak menyokong usul berkenaan dan hanya 10 yang menyokong manakala terdapat satu undi rosak atau berkecuali.
Usul undi percaya dibawa oleh ADUN Pengkalan Baharu (BN) Datuk Abd Manaf Hashim menerusi surat bertarikh 18 November.
Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada Barisan Nasional 25, Bersatu 5, Pas 3, DAP 16, PKR 3, Amanah 5, Gerakan 1 dan Bebas 1.-SM