Hiburan

Mencari Kanzun kembara ke seluruh negara demi mencari ilmuan wanita

MENGEMBARA ke seluruh negara dengan membuat pelbagai kajian mengenai ilmuan wanita untuk dimuatkan dalam program Travelog terbaru Mencari Kanzun sebenarnya memberikan cabaran besar kepada produksi Kembara Sufi Production Sdn. Bhd. sejak beberapa bulan yang lalu.

Ditambah dengan kekangan Perintan Kawalan Pergerakan (PKP) dan dalam masa yang sama perlu berwaspada dengan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan membuatkan semua kru produksi perlu berhati-hati.

Selaku Penerbit, Jaja Ishak menganggap apa yang dilalui sebagai pengalaman yang sungguh bermakna buat mereka memandangkan pelbagai cabaran terpaksa diharungi sejak beberapa bulan yang lalu.

“Memang ini cabaran untuk kami menyiapkan Kanzun memandangkan pelbagai proses perlu dilakukan bagi menyiapkan program travelog ini. Daripada proses mengenal pasti ilmuan wanita yang terpilih, kru produksi terutamanya penulis skrip perlu membuat kajian lapangan.

“Mereka bukan sahaja mengembara ke seluruh negara tetapi dalam masa yang sama terpaksa menjejaki waris memandangkan ada dalam kalangan ilmuan wanita yang diangkat sudah pergi buat selama-lamanya,” kata Jaja lagi.

Penerbit Mencari Kanzun, Jaja Ishak

Bagi Jaja, idea untuk menghasilkan Kanzun tercetus daripada sesi perbicangan dengan salah seorang rakannya sebelum ini. Kebanyakan program yang diterbitkan sebelum ini banyak memberikan fokus kepada ilmuan lelaki dan ulamak sahaja tanpa dan jarang sekali memaparkan kehebatan kaum wanita.

Daripada idea tersebut, ia ‘dicanai’ oleh Thaqib Mohammad selaku penulis skrip yang memang sudah berpengalaman dalam penerbitan program seperti ini.

Menggunakan tema “meneroka kesinambungan keilmuan wanita di negara sendiri”, sebenarnya Malaysia menyimpan seribu satu khazanah dan sejarah yang ternilai dan bakal didokumentasikan dalam Kanzun.

“Kita tidak membuat penggambaran secara sendirian sebaliknya mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, beberapa Jabatan Agama Islam, Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu serta Jabatan Mufti di negeri terpilih.

“Mereka bukan sahaja memberikan maklumat lengkap mengenai ilmuan-ilmuan yang terpilih tetapi dalam masa yang sama memberikan input dan cadangan lain untuk menambah naik program ini,” tambahnya lagi.

Farisha Iris menjadi pengacara program Mencari Kanzun

Kanzun bakal ditayangkan 13 episod di RTM dan turut mendapat Geran Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Negara Malaysia (Finas).

Sudah pasti dengan bantuan dan kepercayaan yang diberikan oleh Finas dan RTM membuatkan produksi bersemangat untuk menghasilkan karya yang terbaik namun masih mengikut lunas-lunas yang sepatutnya.

“Ini antara program yang lain daripada yang lain. Saya berterima kasih kepada Finas dan berharap karya ini akan menambat hati penonton seterusnya memberikan ilmu baharu kepada semua,” katanya.

Diarahkan oleh Abidin Azizi, Mancari Kanzun dikendalikan oleh Farisha Iris dan bakal menemui penonton tahun hadapan. -SM

(Visited 335 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button