Nasional

Ayah rayu henti tular gambar anak maut dirempuh

“BERHENTI tular gambar kemalangan libatkan anak saya,” demikian rayu Mohamad Ismail Othman, ayah kepada Koperal Safwan Mohamad Ismail, 31, yang maut dirempuh pemandu mabuk ketika bertugas dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) Op COVID-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Kajang, awal pagi ini.

Mohamad Ismail, 60, yang merupakan pesara VAT69 Komando berkata, walaupun pahit namun beliau yang baru keluar wad hospital kerana masalah jantung harus redha dengan kehilangan anak kedua daripada sembilan beradik itu.

“Saya cuma minta budi bicara orang ramai untuk tidak terus tularkan gambar kemalangan anak saya, sudah-sudahlah,” kata ayah mangsa ketika ditemui pemberita di kediamannya di Tanjung Rambutan dekat sini, hari ini.

Sementara itu, kakak arwah, Suraya, 32, berkata, pada 1 Mei lalu genap 11 tahun adiknya itu berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sempat berkongsi gambar kenangan semasa tamat latihan.

“Masa bapa kami dimasukkan ke hospital kerana sakit jantung arwah ada balik sebentar tapi dia bergegas pulang ke Kajang kerana perlu bertugas.

“Tidak sangka mesej ceria kongsikan gambar tamat latihan polis dan memberitahu telah 11 tahun berkhidmat dalam PDRM Jumaat lalu adalah yang terakhir daripadanya,” kata kakak mangsa.

Beliau berkata, jenazah adiknya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan sebelum Asar hari ini.

Dalam kejadian pukul 2.11 pagi itu, Allahyarham Safwan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala setelah dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan, hasil siasatan mendapati semasa kejadian pemandu Hilux berusia 44 tahun itu memandu dari arah Kajang menuju ke arah Plaza Tol Kajang Selatan.

Dalam kejadian itu, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala setelah dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Mohd Zaid berkata, hasil siasatan mendapati semasa kejadian pemandu Hilux berusia 44 tahun itu memandu dari arah Kajang menuju ke arah Plaza Tol Kajang Selatan.

“Apabila sampai di sekatan jalan raya, pemandu Hilux gagal mengawal kenderaannya kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga melanggar seorang anggota polis yang sedang bertugas sebelum melanggar kenderaan anggota yang diletakkan di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Zaid berkata, laporan polis telah dibuat oleh penyelia SJR  manakala pemandu Hilux itu yang turut mengalami kecederaan, ditahan polis untuk siasatan lanjut.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan kes berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Jenazah mangsa, yang berasal dari Ipoh, dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat.- BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button