Ayah bergelut lawan Covid-19: Hafiz jadi sukarelawan PPV
1,000 penerima vaksin AstraZeneca pusingan kedua di PPV Persada
PENGAMBILAN vaksin bagi melawan jangkitan wabak Covid-19 penting. Itu antara kata-kata yang diluahkan oleh seorang sukarelawan Southern Volunteers, Muh Hariz Abu Bakar.
Memetik wawancara bersama portal FMT, Hariz, 20, berkata, dia mempunyai pengalaman pahit kerana melihat bapanya sendiri bergelut dan bertarung nyawa melawan jangkitan Covid-19.
Katanya, pengalaman pahit itu berlaku pada Februari lalu dan peristiwa itulah yang membuka matanya untuk mendaftarkan diri sebagai salah seorang sukarelawan Southern Volunteers di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada) Johor.
“Walaupun ayah sudah sembuh namun dugaan yang dilalui pada Februari lalu memberi kesan kepada dirinya sekali gus menyedari betapa pentingnya pengambilan vaksin dalam kalangan masyarakat,” kata Hariz.
Beliau berkata, “Ayah dijangkiti Covid-19 tetapi tidak pasti daripada siapa. Walaupun saya dan ahli keluarga tidak terlibat (dijangkiti) tetapi pengalaman ini telah membuka mata kami.
“Saya berharap dengan penglibatan sebagai sukarelawan ini, dapat memberi peluang kepada diri saya untuk menyumbang kepada masyarakat,” katanya Graduan Kolej Matrikulasi Johor.
Sebagai sukarelawan, antara tugas Hariz di PPV termasuk menunjuk arah, membantu kelancaran proses pendaftaran serta penerima vaksin yang memerlukan kerusi roda.
Menjawab soalan, bagaimanakah beliau mengetahui tentang pengambilan sukarelawan Southern Voluenteers PPV di Persada Johor, Hariz berkata, beliau dimaklumkan mengenai peluang menjadi sukarelawan itu daripadanya rakannya sekitar akhir bulan lepas.
“Ibu bapa menyokong tindakan saya kerana melihat perkara ini (sukarelawan) sebagai peluang untuk saya menimba pengalaman baharu di samping menyumbang bakti kepada masyarakat.
“Sehubungan ini, saya menyeru orang ramai agar mendaftarkan diri dalam program pengambilan suntikan vaksin kerana ia penting untuk membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok,” ujar Hariz.
Dianggarkan 1,000 sukarelawan Southern Volunteers akan digerakkan secara berperingkat-peringkat ke semua 46 PPV di Johor mulai hari ini dengan 120 daripadanya ditugaskan di PPV Persada Johor bagi membantu penerima vaksin AstraZeneca pusingan kedua. – SM