
Asyraf Wajdi kekal pengerusi MARA hingga 2027
Khidmat Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) disambung untuk tempoh dua tahun lagi, berkuat kuasa mulai 1 Mac 2025.
Pelantikan ini disahkan selepas beliau menerima watikah daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Dalam reaksinya, Asyraf Wajdi berikrar untuk menjalankan amanah yang diberikan dengan penuh kejujuran dan tanggungjawab.
“Pesanan Datuk Seri Zahid kepada saya, ‘Asyraf, MARA adalah institusi orang Melayu-Bumiputera. Perkasakan MARA untuk terus memartabatkan agenda pendidikan dan ekonomi mereka.’
“Insya-Allah, amanah ini akan saya laksanakan sebaik mungkin dengan penuh jujur dan amanah. Ini bukan satu bentuk kemasyhuran (tasyrif), tetapi tanggungjawab besar (taklif) yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.
“Mohon doa daripada semua agar saya diberi kemudahan dalam melaksanakan amanah untuk bangsa dan agama ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Asyraf Wajdi mula memegang jawatan sebagai Pengerusi MARA sejak Mac 2023, menggantikan penyandang terdahulu, Datuk Azizah Mohd Dun.