Politik

Asmaiza calon BN DUN Chuping santuni pengundi tinggal luar kawasan

DI SAAT-SAAT masa berkempen hampir tamat, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuping tetap gigih menyantuni para pengundi di kawasannya.

Asmaiza Ahmad yang merupakan penyandang kerusi DUN ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan PRU14 ini tidak melupakan pengundinya yang tinggal di Beseri tetapi mengundi di DUN Chuping.

Terdapat lebih kurang 100 pengundi di luar kawasan Chuping antaranya melibatkan Kampung Paya Kelubi, Bagan Manis dan Seri Berangan di Beseri telah disantuni.

Difahamkan berlaku kes ini ekoran persempadanan semula kawasan pengundian oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Asmaiza memberitahu, dengan kehadirannya ini diharap akan membantu BN kekal terus di Chuping.

“Saya bukan saja berkempen untuk kawasan sendiri (Chuping) tetapi juga Parlimen Padang Besar,” katanya.

Asmaiza berkata, nampakya pengundi faham bahawa calonnya Datuk Zahida Zarik Khan tidak boleh turun berkempen sebab masih dalam edah.

Beliau berkata, rakyat Chuping termasuk anak muda perlu melihat bagaimana Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA) mampu memberikan mereka peluang pekerjaan.

“Jika wakil dari Parlimen Padang Besar nanti diberikan kepercayaan menyertai kerajaan negeri dan Kabinet sudah pasti segala faedah lebih besar akan dapat dinikmati oleh pengundi,” katanya.

Sementara itu, Yahaya Tot, 75 seorang pesara berharap BN bukan sahaja kekal di DUN Chuping, Parlimen malah juga membentuk kerajaan negeri dan Pusat.

“Kita sudah lama dengan BN, pelbagai nikmat pembangunan telah dinikmati, apa yang pembangkang buat semasa 22 bulan memerintah sangatlah mengecewakan,” ujar pesara ini.

Beliau juga akan memastikan dua anaknya yang akan pulang ke kampung untuk mengundi nanti juga memangkah BN.

Azizol Muhamad, 37 dari Kampung Seri Berangan sangat berharap BN kekal memerintah.

“Sekalipun kali ini saingan agak sengit, tapi kami tetap sayangkan wakil rakyat penyandang iaitu Asmaiza Ahmad,” katanya.

Kata Azizol, Asmaiza adalah contoh wakil rakyat yang rajin turun padang di mana tidak menunggu masa pilihan raya.

Beliau juga berharap anak muda yang pertama kali mengundi jangan ghairah dengan propaganda pembangkang

“Hargailah jasa BN satu-satunya parti yang akan mampu memerintah negeri dan negara ini dengan baik,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button