SIDANG Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri ke 33/2022 yang dituanrumahkan oleh Negeri Perlis melalui Rejimen 504 Askar Wataniah berlangsung dengan jayanya di Dewan Senat, Bangunan Canselori, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra, semalam.
Persidangan ini dipengerusikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral, Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan diiringkan oleh Asisten Panglima Pasukan Simpanan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Hamdan Ismail.
Antara Komander-komander yang terlibat adalah hos persidangan pada kali ini, Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (Komander Rejimen 504 AW), Raja Muda Kedah Brigedier Jeneral Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin (Komander Rejimen 513 AW), Tunku Besar Seri Menanti Negeri Sembilan Brigedier Jeneral Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz (Komander Rejimen 508 AW).
Lain-lain komander, Tengku Seri Temenggong Raja Terengganu Brigedier Jeneral Datuk Seri Tengku Baharuddin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah (Komander (Rejimen 512 AW) dan Tengku Panglima Raja Pahang Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Komander Rejimen 505 AW).
Dalam ucapan pembukaan, Mohammad berharap Askar Wataniah akan terus relevan dengan perkembangan Tentera Darat Malaysia berdasarkan Pelan Pembangunan Jangka Panjang Tentera Darat iaitu ‘Army For Next Generation (ARMY 4NEXTG) dan Pelan Strategik Hala Tuju Askar Wataniah 2022-2023.
Ketika di UniMAP para komander dipersembahkan dengan persembahan tarian perang penuh bersemangat oleh anggota-anggota kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Tentera Darat UniMAP, lawatan ke Galeri DiRaja Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, demonstrasi produk-produk rekacipta UniMAP dan persembahan kesenian bertenaga oleh Pusat Kebudayaan UniMAP bersama-sama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti.
Sebelum bersurai, semua komander-komander turut meluangkan masa mengunjungi Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra UniMAP yang canggih dan amat teruja dengan segala kemudahan teknologi terkini yang disediakan di universiti awam ke 17 negara yang kini berusia 21 tahun berkenaan. – SM