Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN hari ini memutuskan tidak akan berundur untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku di Myanmar.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, mesyuarat tersebut telah memutuskan beberapa cadangan untuk bergerak ke hadapan dalam menyelesaian segera isu tersebut.
Menurutnya, perbincangan dengan menteri-menteri luar ASEAN adalah mencari jalan terbaikmencapai Five-Point Consensus (5PC).
Beliau berkata, satu keputusan bersama telah dipersetujui bahawa ASEAN tidak akan berundur ke belakang dan membantu menyelesaikan pelbagai masalah di negara berkenaan.
“Ini termasuklah urusan berkaitan bantuan kemanusiaan dan perutusan khas ke Myanmar yang diberikan mandat kepada Indonesia selaku pengerusi.
“Usaha ini akan berterusan apabila Laos akan menjadi pengerusi pada tahun hadapan manakala Malaysia pula pada 2025,” ujarnya kepada pemberita pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia hari ini.
Ini merupakan penampilan pertama Zambry pada persidangan tahunan serantau itu sejak dilantik menerajui Wisma Putra pada 3 Disember 2022 lalu dalam Kerajaan Perpaduan.
Terdahulu Zambry menyertai tiga mesyuarat persediaan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN selain Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN ialah Mesyuarat Majlis Komuniti Politik dan Keselamatan ASEAN Ke-26.
Selain itu beliau turut menyertai Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN Ke-33 yang dipengerusikan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi selaku Pengerusi ASEAN 2023 dan turut disertai Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.
Dalam mesyuarat Komuniti dan Politik ASEAN Ke-26, Zambry berkata, antara perkara utama yang dibincangkan adalah berkaitan kecenderungan negara luar ASEAN untuk menjalin hubungan kerjasama dan dialog dengan ASEAN.
“Terkini negara seperti Arab Saudi, Sepanyol dan Panama untuk mewujudkan satu ikatan kerjasama persahabatan dan ini merupakan satu langkah positif,” ujarnya.
Jelasnya, negara luar melihat ASEAN berkembang dan dapat bergerak dalam keadaan yang begitu baik sekali.
Tambahnya, beliau turut memberi laporan mengenai kedudukan Malaysia sebagai negara koordinator yang dipertanggungjawabkan untuk menyusun pertemuan Sidang Kemuncak Summit antara ASEAN dan GCC di Riyadh, Oktober nanti serta ASEAN dan Kanada.
Katanya, jenayah scammer akan turut dibincangkan dalam pertemuan dengan ketua-ketua negara ASEAN memandangkan isu ini telah dibawa oleh Malaysia dalam usaha mencari langkah menangani perkara tersebut.- SM