APM sedia lebih 900 bot bagi hadapi banjir
KUALA NERUS – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kini memiliki lebih 900 buah bot berbanding 400 bot sebelum ini bagi persediaan menghadapi musim banjir tahun ini, kata Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Roslan Wahab.
Beliau berkata jumlah bot tersebut mencukupi dan seandainya keadaan banjir bertambah buruk, pihaknya akan mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, seramai 12,000 pegawai dan anggota di seluruh negara akan bertugas ketika fasa pertama bencana banjir dan jumlah tersebut akan meningkat kepada 20,000 anggota sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.
“Banjir tahun ini dijangka berlaku antara empat hingga enam kali berdasarkan jangkaan jumlah hujan lebat bermula 24 Okt hingga Mac 2020,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Setia APM Terengganu, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut mengagihkan kit risalah banjir kepada APM daerah untuk diedar kepada masyarakat setempat.
— BERNAMA