Aplikasi makanan halal pertama Ode Jee sudah boleh dimuat turun
Aplikasi penghantar makanan halal yang pertama di Malaysia, Ode Jee yang dinanti-nanti kini sudah boleh dimuat turun menerusi platform Google Play Store.
Walau bagaimanapun, perkhidmatan aplikasi tersebut hanya boleh digunakan untuk membuat pesanan makanan apabila sudah diaktifkan dalam masa terdekat.
Pengerusi Ode Jee, Datuk Seri Ismail Alwasi Khan berkata, ketika ini, syarikat sedang mengemas kini senarai vendor dan penghantar makanan dalam aplikasi berkenaan sebelum beroperasi sepenuhnya.
“Aplikasi Ode Jee kini sudah boleh dimuat turun untuk pengguna mengenali dan meneliti perkhidmatan yang bakal disediakan nanti.
“Apabila fasa pertama beroperasi nanti, aplikasi tersebut boleh digunakan secara berperingkat-peringkat dimulai di sekitar Bandaraya Johor Bahru dan kemudiannya ke seluruh Johor,” katanya lapor Voice.
Pada masa ini, lebih 1,000 vendor dan peniaga serta lebih 100 penghantar makanan telah berdaftar dalam aplikasi Ode Jee.
Bagi pengguna Apple Store, aplikasi Ode Jee dijangka boleh dimuat turun pada minggu depan.