Apabila program realiti ‘main politik
KUALA LUMPUR – ‘Mainan politik’ dalam program realiti televisyen adalah senario yang berlaku tetapi ‘taboo’ untuk diperkatakan secara terang-terangan.
Senario itu bukannya baharu sebaliknya sudah sekian lama terjadi yang mana ia tidak sepatutnya berlaku.
‘Bermain politik’ yang wujud dalam program pertandingan penyiaran yang lebih menjurus kepada kononnya mahu membuat kejutan kepada penonton.
Alasannya kerana program realiti televisyen berkonsep hiburan mendapat sambutan hangat daripada kalangan khalayak yang menonton di kaca televisyen saban minggu.
Memahami keadaan sesebuah program siaran televisyen yang disiarkan mesti trending, mesti rating tinggi tetapi apabila diprogramkan sebagai satu pertandingan waimah apapun ia mestilah mengikut aturan; bermula dengan saringan, minggu-minggu persaingan, minggu suku akhir, separuh akhir dan peserta yang terpilih untuk bertanding di peringkat akhir atau final.
Ahad lepas ramai yang teruja menonton pertandingan program realiti televisyen Gegar Vaganza musim keenam (GV6).
Penjurian dan pemarkahan para peserta bukan melalui undian SMS seperti program realiti televisyen Akademi Fantasia tetapi pemarkahan oleh juri-juri tetap dan jemputan.
Sudah semestinya para peserta pertandingan tampil dengan persembahan terbaik demi merebut tempat ke final.
Melainkan para peserta sendiri sedia maklum tentang ‘game’ kejutan yang sengaja dilakarkan oleh pihak produser penyiaran.
Apa pilihan yg para peserta ada melainkan ikut serta bermain dalam permainan yang telah ditetapkan oleh ‘tangan yang ada kuasa ajaib’.
Bagi para peserta ini mereka ada untungnya kerana lebih lama bertahan, tidak tersingkir, ada ‘masyuk’ (duit).
Atau para peserta benar-benar tidak tahu wujudnya ‘permainan’ ini dan apabila mereka yang namanya diumumkan layak ke final, kelegaan masih tidak lepas kerana ada sambungan minggu dan minggu seterusnya.
Secara mentalnya, para peserta perlu perah lagi otak dan idea untuk persembahan seterusnya sedangkan kerahan otak itu sudah hampir sampai ke penghujung.
Aleh-aleh, ada lagi!
Para juri juga ditarik untuk ‘bermain’ dalam permainan stesyen yang mengendalikan program realiti ini.
Penjurian dan pemarkahan dilihat seolah-olah bukan hak mutlak juri profesional.
Manakala juri jemputan, kehadiran sebagai pemanas kerusi empuk kerana komen juri jemputan, ada yang entah apa-apa ataupun disanggah secara terang-terangan oleh juri tetap.
Dalam dunia hiburan, dalam kancah program realiti televisyen senarionya lebih kurang sama dalam dunia politik.
Tidak bebas, terikat, ada tangan dan kuasa ajaib.
Percaturan awal sudah boleh dibaca-siapa juara. Asalkan sang juara itu bukan sama dengan peribahasa, kera dihutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. -SM