Apa lagi Covid mahu?
KITA sudah berkurung di rumah selama tiga bulan. Jika undur dan menoleh kebelakang, sudah hampir dua tahun hidup kita tidak normal.
Kita tidak boleh melakukan apa yang kita suka, iaitu melepak di kedai mamak dengan kawan-kawan, meredah belantara mencari ketenangan, berbasikal bersama rakan membangkit keterujaan dan pelbagai lagi aktiviti kita gemar.
Paling sukar untuk dihadapi, tidak dapat bertemu orang yang kita kasihi yang tinggal berjauhan, mahupun sepelaung sahaja, kerana bimbangkan penularan wabak Covid-19.
Kita juga sudah lama tidak bersolek dan berdandan. Setiap hari hanya memakai pakaian yang sama gara-gara tidak masuk ke pejabat bertahun lamanya.
Kalau keluar pun kita memakai pelitup muka dua lapis hingga berselisih dengan rakan akrab sekalipun sukar untuk kita kenali.
Hari-hari kita membaca berita sedih dan kesusahan masyarakat di media sosial. Hari-hari juga kita membaca pemimpin politik bercakaran, artis bergaduh dan netizen memaki hamun tanpa adab dan sopan lagi.
Kita telah layari segala macam portal untuk mencari maklumat berhubung virus yang merbahaya ini. Terkadang kita berasa cemburu dengan negara maju seperti Eropah kerana penduduknya sudah sedikit bebas, walaupun pada hakikat mereka sendiri pun masih berjuang melawan wabak ini.
Kita juga melihat negara maju jika terdapat jangkitan kes baharu walaupun satu, terus diadakan perintah berkurung, lantas kita mahukan negara kita mengikut apa yang dilakukan di negara maju.
Tanpa kita sedar negara kita dari segi ekonomi dan pendapatan rakyatnya masih jauh ketinggalan, ramai yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Jumlah mereka yang hidup dengan pendapatan harian ini semakin bertambah kerana banyak syarikat membuang pekerja dan lebih buruk telah bankrap kerana tidak dapat mengharungi kegawatan ekonomi akibat pandemik hari ini.
Bagaimana golongan ini dapat hidup jika kita melaksanakan penutupan total atau total lockdown apabila terdapat hanya satu sahaja kes baharu.
Kita juga telah berusaha membantu setakat mampu mereka yang memerlukan. Begitu juga kerajaan tidak putus-putus menyalurkan pelbagai bantuan termasuk bakul makanan ke seluruh negara.
Kita juga telah mengeluarkan duit daripada simpanan hari tua kita iaitu di dalam Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP). Sifir dipakai untuk menyejukkan hati adalah wang berkenaan digunakan demi kelangsungan hidup.
Kita juga sudah bekerja dengan gaji separuh dan kadangkala tidak bergaji. Kelangsungan hidup hanya dengan wang i-Sinar dan terkini i-Citra. Kita juga telah menangguhkan bayaran pinjaman di institusi perbankan.
Walaupun ini hanya sementara, dan pada masa hadapan semua ini akan kembali menimpa kita bertubi-tubi, kita redho kerana sudah tiada pilihan.
Kita sudah berusaha pelbagai, kerajaan juga sudah berusaha segalanya, tetapi kes Covid-19 tidak juga turun, bahkan mencecah belasan ribu dan dijangka akan mencapai kemuncak puluhan ribu sehari.
Akhirnya kita harus akur bahawa kita harus berdamai dengan Covid-19 ini. Perdamaian itu hanya akan dicapai apabila kita sudah disuntik dua dos vaksin.
Walaupun terdapat cerita jangkitan dua dos vaksin masih dijangkiti, tetapi kesan sampingannya adalah lebih rendah. Begitu juga risiko kematian juga lebih rendah.
Kita tidak harus kecewa dan berputus-asa. Vaksin memberi sinar untuk kita terus melangkah. Pada ketika ini kita perlu terus bersabar dan tabah dengan dugaan yang hadir.
Mudah-mudahan apabila 80 peratus dalam kalangan kita telah divaksin pada sekitar akhir tahun ini, kehidupan kita akan menjadi lebih baik dan awan hitam yang membelenggu kita akan mula berarak pergi.