Anwar tiba di Labuan Bajo, Indonesia hadiri Sidang Kemuncak ASEAN
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba Labuan Bajo bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 2023 di bandar Manggarai Barat, kepulauan Flores di wilayah Nusa Tenggara Timur.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Komodo pada jam 3.45 petang (waktu sama dengan Malaysia), dan ketibaan Anwar disambut oleh Menteri Pengangkutan Indonesia, Budi Karya Sumadi.
Turut hadir menyambut ketibaan Perdana Menteri di lapangan terbang ialah Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin.
“Ini adalah kehadiran kali pertama Anwar selaku Perdana Menteri ke mesyuarat peringkat tertinggi pemimpin-pemimpin negara ASEAN.
“Kita menjangkakan kehadiran perdana menteri akan menjadi perhatian memandangkan peranan beliau dan Malaysia sebagai satu daripada anggota awal yang menubuhkan ASEAN,” kata Zambry kepada media Malaysia.
Beliau juga dijadual mempengerusikan Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dijangka menghasilkan beberapa dokumen seperti Pernyataan Pemimpin-pemimpin Asean berhubung pengukuhan institusi ASEAN dan Visi ASEAN pasca 2025.
Lain-lain termasuk berkaitan menangani pemerdagangan manusia, perlindungan pekerja migran serta keluarga mereka semasa krisis, kesihatan, ekosistem kenderaan elektrik, dan pembangunan rangkaian kerja ASEAN.
Ini selaras dengan tema pengerusi blok serantau 2023 Indonesia, “Asean Matters: Epicentre of Growth.” – BERNAMA