Nasional
Anwar tiba di Korea Selatan, lawatan rasmi tiga hari
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di lapangan terbang antarabangsa Seoul, Korea Selatan untuk mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari.
Menurut Anwar, lawatan tersebut adalah bagi memenuhi undangan Presiden Korea Selatan.
“Alhamdulillah, saya telah selamat tiba di Seoul, Republik Korea bagi memenuhi undangan Presiden Yoon Suk Yeol.
“Kunjungan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memantapkan hubungan dua hala bersempena ulang tahun ke-65 pada tahun 2025 sejak terpatrinya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada tahun 1960,” katanya di Facebook.
Dalam kenyataan Wisma Putra sebelum ini, PM dijadual akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol di Pejabat Presiden yang terletak di Yongsan, Seoul hari ini.
Kedua dua pemimpin juga akan berbincang isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, serta bertukar pandangan mengenai kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 serta kepengerusian APEC-Republik Korea 2025.
Selepas itu, mereka akan menyaksikan majlis pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu Kerjasama Pendidikan Tinggi, Kerjasama Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon dan Pendekatan Kerjasama di Bawah Artikel 6, Perenggan 2 Perjanjian Paris.
“Perdana Menteri dijadualkan untuk menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-Korea Selatan dan mengadakan pertemuan dengan kapten industri dari syarikat-syarikat terkemuka Korea Selatan.
“Beliau juga akan untuk menyampaikan ucapan khas bertajuk “Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia” di Universiti Kebangsaan Seoul pada hari terakhir lawatannya,” kata kenyataan itu dipetik.
Dalam lawatan ini PM diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Korea Selatan merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.07 bilion. Dari Januari hingga September 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Korea Selatan mencatat sebanyak RM81.61 bilion.
Sejak dekad 1980an hingga Jun 2024, sebanyak 392 projek sektor pembuatan dengan kepentingan Korea Selatan telah dilaksanakan di Malaysia dengan nilai pelaburan mencecah RM43.10 bilion.
Malaysia pula merupakan rakan dagang ketiga terbesar Korea Selatan dalam kalangan negara anggota ASEAN dan ke-12 terbesar di peringkat global.